Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Amerika Syarikat baru-baru ini membuat bayaran kira-kira $160 juta kepada PBB (United Nations), sebahagian daripada hutang melebihi $4 bilion yang tertunggak, ketika Donald Trump melancarkan mesyuarat pertama inisiatif kontroversi barunya, ‘Board of Peace’.
Menurut jurucakap PBB, bayaran ini adalah sebahagian kecil daripada tunggakan AS kepada bajet tetap, di mana negara itu masih berhutang lebih $2.19 bilion kepada bajet tetap PBB, $2.4 bilion untuk misi pengaman, dan $43.6 juta untuk tribunal PBB.
Jumlah keseluruhan hutang AS melebihi $4 bilion, menjadikannya penyumbang tunggakan terbesar di dunia.
Walaupun AS merupakan penyumbang utama PBB, pentadbiran Trump sebelum ini menahan bayaran mandatori, mengurangkan sumbangan sukarela, dan menarik diri daripada puluhan agensi PBB.
Dalam ucapan pembukaan mesyuarat ‘Board of Peace’, Trump menegaskan bahawa Washington akan menyokong PBB dari segi kewangan dan memastikan organisasi itu ‘viable’, kerana menurutnya, PBB mempunyai potensi besar yang belum direalisasikan sepenuhnya.
Inisiatif ini pada asalnya dicadangkan sebagai sebahagian daripada pelan untuk menamatkan perang Israel di Gaza, di mana lembaga ini sepatutnya mengawasi pentadbiran sementara wilayah itu.
Namun, Trump kemudian menyatakan bahawa lembaga ini akan turut menangani konflik global lain.
Langkah ini menimbulkan kritikan daripada pakar PBB yang menilai struktur lembaga itu mirip model kolonial, kerana tiada wakil Palestin terlibat dan tiada wakil PBB hadir dalam mesyuarat pertama.
Banyak negara, termasuk kuasa besar Global South dan sekutu utama AS, juga dilaporkan enggan menyertai inisiatif ini.
Bayaran sebahagian hutang menunjukkan AS cuba memenuhi tanggungjawab kewangan terhadap PBB, tetapi ‘Board of Peace’ menimbulkan persoalan besar yang dimana adakah ia akan memperkukuh peranan PBB atau melemahkannya?
Dengan tiada penyertaan Palestin dan beberapa negara enggan terlibat, pakar menekankan bahawa langkah ini boleh melemahkan kredibiliti PBB dalam menangani konflik global.



























































