Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Amerika Syarikat melancarkan serangan secara langsung ke Venezuela dan berjaya menahan Presiden Nicolas Maduro bersama isterinya.
Pengumuman ini dibuat sendiri oleh Presiden AS, Donald Trump, yang berkata kedua-duanya sudah diterbangkan keluar dari negara itu.
Langkah ini mengejutkan kerana AS tidak pernah bertindak sedemikian di Amerika Latin sejak pencerobohan Panama pada 1989 bagi menyingkirkan Manuel Noriega.
Trump memuji operasi itu sebagai “cemerlang” dengan perancangan rapi dan penglibatan anggota tentera elit.
Serangan ini susulan tuduhan AS bahawa Maduro menguasai “negara dadah” dan manipulasi pilihan raya. Maduro, yang mengambil alih kuasa sejak 2013 menggantikan Hugo Chavez, sebelum ini menuduh Washington berhasrat menguasai rizab minyak Venezuela yang terbesar di dunia.
Kerajaan Venezuela mengeluarkan kenyataan yang mereka tidak tahu di mana Maduro dan isterinya berada selepas serangan itu. Seorang pegawai AS mengesahkan penahanan tersebut dilakukan pasukan khas elit.
Pengumuman ini datang selepas beberapa bulan AS menekan Venezuela dari segi ketenteraan dan ekonomi, termasuk sekatan terhadap eksport minyak negara itu.
Ironinya, dua hari sebelum serangan, Maduro cuba berhubung dengan Trump menawarkan kerjasama dalam memerangi dadah dan migrasi haram.
Situasi ini menimbulkan persoalan serius tentang hala tuju politik di Amerika Latin. AS kini membuka laluan baru dalam campur tangan langsung yang berisiko memanaskan lagi ketegangan serantau.
Dari sudut ekonomi, risiko gangguan pasaran minyak global tetap tinggi kerana Venezuela masih antara pengeluar utama minyak dunia.
























































