Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Inflasi Malaysia meningkat 1.6% tahun ke tahun pada Januari 2026, dengan indeks harga pengguna naik kepada 135.7 berbanding 133.6 pada bulan sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Kenaikan ini didorong terutamanya oleh kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan yang meningkat 6.6%, lebih tinggi berbanding 5.7% pada Disember.
Pendidikan turut mencatat kenaikan 3.2%, diikuti perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain sebanyak 1.2%, serta rekreasi, sukan dan budaya 0.9%.
Minuman beralkohol dan tembakau naik 2.5%, manakala makanan dan minuman meningkat 1.5%, sama seperti bulan sebelumnya.
Daripada 573 barangan yang dipantau, sekitar 62% mencatatkan kenaikan harga, dengan majoritinya meningkat kurang daripada 10%. Hanya sembilan barangan naik lebih 10%, manakala 30% barangan mencatat penurunan harga.
Dari sudut harga bahan api, purata RON97 turun kepada RM3.11 seliter berbanding RM3.24 pada Disember.
Diesel di Semenanjung Malaysia susut kepada RM2.89 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter. Harga pasaran RON95 berada pada RM2.54 seliter, berbanding harga subsidi RM1.99.
Tiga negeri merekodkan inflasi melebihi paras nasional 1.6%, iaitu Johor (2.1%), Negeri Sembilan (2.0%) dan Pahang (1.9%). Kelantan mencatat inflasi terendah pada 0.3%. Bagi inflasi makanan dan minuman, hampir semua negeri mencatat kenaikan kecuali Kelantan yang merekodkan -0.3%, dengan Negeri Sembilan mencatat peningkatan tertinggi sebanyak 3.2%.
Secara bulan ke bulan, inflasi Januari meningkat 0.1%, lebih perlahan berbanding 0.3% pada Disember, menunjukkan tekanan harga keseluruhan masih terkawal setakat ini.


























































