Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melontarkan amaran keras terhadap pasukan penguat kuasa negara supaya mengundur diri daripada jawatan sekiranya mereka gagal menjalankan tugas dengan penuh integriti.
Anwar turut menegaskan bahawa isu tekanan luar, godaan dan kepentingan peribadi tidak boleh dijadikan alasan untuk berkompromi dalam melaksanakan undang-undang.
Teguran itu disampaikan sebagai tanda peringatan bahawa kedudukan yang dipegang dalam institusi penguatkuasaan bukanlah hak peribadi, sebaliknya satu tanggungjawan besar kepada negara dan rakyat.
Menurut Anwar, pilihan terbaik adalah memberi laluan kepada individu yang bersedia dan berani memikul amanah sekiranya wujud keraguan dalam membuat sebarang keputusan dengan tegas.
Beliau juga memberi amaran agar gejala penyeludupan, rasuah dan kegiatan gelap tidak dinormalisasikan sekiranya wujud penglibatan atau perlindungan daripada pihak berkuasa yang seharusnya menguatkuasakan tindakan undang-undang.
Perbuatan terkutuk tersebut disifatkan sebagai pengkhianatan besar terhadap negara dan rakyat, serta tidak boleh ditangani dengan sikap bertolak ansur.
Pada masa yang sama, pihak kerajaan mahu melihat perubahan sebenar dalam budaya kerja penguatkuasa, bukannya sekadar kenyataan simbolik atau retorik semata-mata.
Justeru, setiap agensi perlu menunjukkan sikap rasional dengan melaksanakan tugas berasaskan aspek tindakan, disiplin dan ketelusan dalam menjalankan amanah.



























































