Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 6.3% secara tahun ke tahun (YoY) pada suku keempat 2025 disifatkan sukar untuk dikekalkan bagi tempoh seterusnya.
Menurut CGS International (CGSI), asas ekonomi negara ini adalah kekal berdaya tahan memasuki tahun 2026 dengan unjuran pertumbuhan KDNK tahun ini kepada 4.8% daripada 4.6% sebelum ini.
Firma itu turut memaklumkan bahawa pertumbuhan luar jangkaan pada suku keempat 2025 (Q4 2025) sebahagiannya disokong oleh peningkatan pengeluaran minyak sawit, serta lonjakan perbelanjaan kerajaan.
Walaupun peruntukan itu mencapai paras tertinggi sejak suku kedua 2021, namun ia dijangka kembali sederhana selepas berakhirnya tempoh suku pertama 2026.
Pada 13 Februari 2026, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan KDNK meningkat 6.3% pada 4Q25 mengatasi anggaran 5.7% dan pertumbuhan 2025 mencecah 5.2% berbanding 5.1% pada 2024.
Sementara itu, momentum pertumbuhan ekonomi negara ini dilihat kembali stabil dengan kadar sederhana 0.8% daripada 2.7% yang direkodkan pada suku ketiga 2025.
CGSI turut menjelaskan bahawa lebihan akaun semasa pula didapati menyusut kepada RM2 bilion pada 4Q25 berbanding RM12.8 bilion (bersamaan 0.4% daripada KDNK) pada suku sebelumnya.
Kemerosotan ini disebabkan oleh lebihan yang lebih rendah dalam akaun barangan, namun ia diimbangi sebahagiannya oleh peningkatan lebihan akaun perkhidmatan hasil penerimaan pelancongan yang lebih kukuh.
Pada masa yang sama, CGSI menjangkakan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) terus menyokong akaun semasa serta mengekalkan unjuran lebihan akaun semasa 2026 kepada 1.7% daripada KDNK.
Meskipun lonjakan 4Q25 dianggap luar biasa, momentum ekonomi Malaysia dijangka kekal stabil pada 2026.
Prestasi positif ini akan terus didorong oleh pasaran tenaga kerja yang kukuh, pelarasan gaji sektor awam, serta kadar inflasi yang terkawal.


























































