Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana kepada 3.8% pada 2026, lebih rendah berbanding sasaran Kementerian Kewangan antara 4.0 hingga 4.5%, susulan pertumbuhan eksport dan pelaburan yang lebih perlahan.
Penyederhanaan ini sebahagiannya disebabkan oleh kesan eksport muatan hadapan ke Amerika Syarikat pada 2025 yang semakin kurang, selain kelembapan ekonomi di negara rakan dagang utama.
Bagaimanapun, permintaan domestik kekal berdaya tahan, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang stabil, pertumbuhan sektor perkhidmatan serta pasaran buruh yang kukuh.
Sektor elektrik dan elektronik (E&E) pula dijangka terus berdaya tahan sejajar dengan tinjauan positif industri semikonduktor global, meskipun berdepan ketidaktentuan.
Dalam masa yang sama, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan tekanan kos yang meningkat seperti pelaksanaan penuh e-Invois, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mandatori bagi pekerja asing, levi berperingkat pekerja asing serta kenaikan kos utiliti dan cukai jualan dan perkhidmatan telah mendorong sebahagian pemain industri merancang pelarasan harga.
Meskipun pertumbuhan dijangka perlahan pada 2026, halatuju jangka sederhana kekal positif. Pelaksanaan pembaharuan struktur, pelaburan berterusan serta dasar monetari yang lebih menyokong dijangka membantu ekonomi Malaysia kembali berkembang pada kadar lebih kukuh dalam tahun-tahun berikutnya.























































