Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara rasmi mengesahkan bahawa permintaan tiket bagi Piala Dunia 2026 telah mencecah angka luar biasa yang belum pernah dicapai sebelum ini.
Menurut FIFA, organisasi tersebut menerima lebih daripada 500 juta permintaan tiket semasa fasa cabutan jualan tiket secara rawak.
Angka yang dikeluarkan pada Januari 2026 merupakan statistik tertinggi yang pernah direkodkan dalam sejarah sepanjang penubuhan acara sukan terbesar dunia itu.
Pembelian tiket tersebut datang daripada peminat bola sepak di seluruh dunia, sekali gus mengatasi jumlah permohonan daripada persatuan-persatuan ahli FIFA sendiri.
Bagaimanapun, timbul dakwaan bahawa badan induk itu berdepan isu besar apabila lebih 38,000 peminat dilaporkan bertindak membatalkan permohonan tiket dan tempahan hotel.
Langkah tersebut didakwa berpunca daripada dasar imigresen Amerika Syarikat (AS), penguatkuasaan ICE, keselamatan pelawat, kesukaran mendapatkan visa, ketegangan politik, serta kos yang tinggi.
Beberapa media di Eropah mula membincangkan kemungkinan boikot pelancongan, namun laporan ini disifatkan sebagai khabar angin semata-mata dan bukan bersandarkan kepada data tempahan tiket yang sahih.
Sehubungan itu, pegawai FIFA secara rasmi menafikan dakwaan mengenai penarikan diri peminat secara besar-besaran, sambil menegaskan bahawa tiada sebarang corak pembatalan luar biasa dikesan setakat ini.
Walaupun segelintir pelancong mungkin mengubah rancangan atas sebab peribadi, namun tiada bukti berlakunya penurunan tempahan hotel.
Buat masa ini, permintaan global terhadap tiket Piala Dunia 2026 kekal tinggi, manakala isu pembatalan besar-besaran tersebut kekal sebagai dakwaan yang tidak disokong oleh bukti yang sah.


























































