Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Industri fintech berasaskan emas di Malaysia terus berkembang positif apabila jumlah mesin ATM emas di seluruh negara kini menghampiri 150 unit, dengan sasaran mencapai 200 unit menjelang akhir tahun ini.
Penambahan ini memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak, yang dijangka menerima 50 unit baharu secara berperingkat bagi meluaskan akses kepada pengguna.
Presiden Pertubuhan Emas Malaysia (MGA), Datuk Louis Ng berkata, peningkatan keyakinan masyarakat terhadap teknologi mesin layan diri mendorong penerimaan lebih meluas terhadap ATM emas, dengan prestasi jualan setiap mesin menunjukkan pertumbuhan bulanan yang konsisten.
Kejayaan inovasi ini turut mendapat perhatian antarabangsa apabila ATM emas Malaysia telah beroperasi di Dubai dan Indonesia, selain menarik minat pelabur dari Eropah dan Hong Kong.
Public Gold mencipta sejarah sebagai syarikat pertama di dunia memperkenalkan ATM emas berasaskan fintech sejak 2023, dan terus mengukuhkan kedudukannya menerusi kerjasama strategik di Persidangan Logam Berharga Dubai (DPMC) 2025.
Dalam majlis sama, pasangan usahawan Public Gold, Mohd. Zulkifli Shafie dan Najdah Mohammed Hussain, dianugerahkan gelaran ‘Million Star Triple Diamond’ atas pencapaian cemerlang dalam kepimpinan, dengan ganjaran keseluruhan bernilai RM2.09 juta.


























































