Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit dibuka tinggi dan semakin hampir mencapai paras tertinggi lima tahun berbanding dolar AS selepas Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75%.
Pada jam 10:26 pagi, ringgit dibuka pada 4.0180 iaitu melonjak 0.50% berbanding dolar AS sejak dibuka pada Jumaat di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa keputusan MPC itu mengukuhkan kestabilan dasar OPR, sekali gus menyokong pengukuhan mata wang tempatan.
Beliau turut menyatakan bahawa sentimen pasaran diilihat semakin bertambah baik selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melembutkan pendirian terhadap Greenland.
Pada masa yang sama, data Inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS mencatatkan kenaikan sebanyak 2.8% pada Disember seperti yang dijangkakan, berbanding 2.7% pada sesi sebelumnya.
Perkembangan itu mengukuhkan jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan mengekalkan kadar faedah pada minggu hadapan.
Pada pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5416/5516 daripada 2.5440/5469, melonjak berbanding euro kepada 4.7347/7529 daripada 4.7205/7257 dan menokok berbanding pound British kepada 5.4381/4590 daripada 5.4273/4334.
Ringgit turut diniagakan berubah-ubah berbanding mata wang ASEAN.
Ia mengukuh berbanding peso Filipin kepada 6.81/6.84 daripada 6.82/6.83 dan sedikit berubah berbanding rupiah Indonesia pada 238.4/239.4 daripada 238.9/239.3.
Ia juga merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1458/1581 daripada 3.1441/1478 dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.9592/13.0187 daripada 12.8587/8792. – BERNAMA
























































