Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit dibuka sedikit rendah berbanding dolar AS pada awal pagi ini, namun diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Pada jam 10:06 pagi, ringgit dibuka pada 4.0580 iaitu menyusut 0.07% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.29% kepada 99.152 mata susulan ketegangan protes yang semakin memuncak terus mendapat perhatian daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Beliau turut menyatakan bahawa perkembangan tersebut memberi isyarat jelas bahawa campur tangan daripada AS berkemungkinan akan berlaku.
Sementara itu, data makroekonomi di AS menunjukkan kadar inflasi utama pada bulan Disember kekal pada 2.7%, manakala kadar inflasi teras kekal sederhana pada 2.6%.
Walau bagaimanapun, Federal Reserve (Fed) AS dijangka mengekalkan kadar penanda aras yang stabil dalam Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan datang pada akhir bulan ini, memandangkan kadar inflasi kekal jauh melebihi sasaran 2.0%.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5499/5551 daripada 2.5521/5551 semalam, melonjak berbanding pound Britain kepada 5.4506/4613 daripada 5.4676/4737 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7267/7360 daripada 4.7344/7396 sebelum ini.
Ringgit turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.1495/1562 daripada 3.1511/1549 semalam dan menambah berbanding baht Thailand kepada 12.8697/9008 daripada 12.8840/12.9036.
Bagaimanapun, ia menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 240.5/241.1 daripada 240.3/240.6 dan merosot berbanding peso Filipina kepada 6.84/6.86 daripada 6.83/6.84 sebelumnya. – BERNAMA























































