Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan peraturan baharu di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang melarang pembelian petrol bersubsidi RON95 oleh kenderaan dengan nombor pendaftaran asing.
Peraturan baru melalui Seksyen 6 akta itu dijangka berkuat kuasa pada 1 April depan dan merupakan penambahbaikan kepada larangan sedia ada yang hanya menumpukan kepada pengusaha stesen minyak, bukan pemilik atau pengguna kenderaan asing.
Dengan peraturan baharu ini, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap kedua-dua pihak, iaitu stesen minyak serta pemilik atau pengguna kenderaan berdaftar asing.
Langkah ini bertujuan memastikan penguatkuasaan lebih menyeluruh dan berkesan. Sesi libat urus sedang dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi sempadan bagi menyelaras prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan.
Penguatkuasaan merangkumi pemeriksaan berkala di stesen minyak, larangan penjualan RON95 kepada kenderaan asing, kawalan pembelian luar tangki, operasi bersepadu bersama agensi keselamatan, serta pemantauan transaksi menggunakan kad armada (fleet card) dan analisis data.
Data menunjukkan trend peningkatan kes di Sabah termasuk Tawau dan Kalabakan, daripada lima kes pada 2023, 13 kes pada 2024, dan 34 kes pada 2025, dengan nilai rampasan mencecah RM40,993 tahun lalu.
Pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 menggunakan pendekatan berasaskan data dan sistem analitik, selaras dengan pengalaman penyasaran subsidi diesel sebelum ini yang berjaya mengurangkan ketirisan.
Kementerian optimis langkah ini dapat menutup ruang manipulasi subsidi dan menegaskan bahawa penguatkuasaan akan diperkuat melalui operasi bersepadu, Ops Tiris, serta kerjasama nasional menerusi Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR) bagi memastikan objektif penyasaran subsidi RON95 tercapai.


























































