Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran Wall Street dibuka lebih tinggi pada awal dagangan Khamis disokong oleh keuntungan daripada syarikat-syarikat teknologi berwajaran tinggi seperti Nvidia dan Amazon susulan kebimbangan baru-baru ini terhadap kecerdasan buatan (AI).
Saham Nvidia meningkat 1.6% selepas syarikat paling bernilai dunia itu menandatangani perjanjian untuk menjual berjuta-juta cip AI terkini dan masa hadapannya kepada Meta Platforms.
Situasi itu mendorong kenaikan saham Meta sebanyak 0.6%.
Sementara itu, saham Sandisk, Western Digital dan Seagate Technology Holdings masing-masing meningkat antara 1.7% dan 4.4%, sekali gus menambah keuntungan sejak kebelakangan ini berikutan permintaan besar-besaran AI terhadap teknologi storan mereka.
Saham Amazon juga naik 1.8% dan Microsoft menokok 0.7% semalam.
Sebelum ini, saham AI mengalami penyusutan apabila pelabur mula bimbang terhadap penilaian tinggi dan tempoh masa yang diperlukan oleh pelaburan AI bagi meningkatkan pertumbuhan pendapatan mereka.
Pada masa yang sama, sektor perisian dan perkhidmatan S&P 500 turut mencatatkan pemulihan sebanyak 1.1% selepas mengalami penyusutan pada awal bulan ini.
Kenaikan ini didorong oleh prestasi memberangsangkan Cadence Design Systems yang melaporkan pendapatan suku keempat melebihi jangkaan pasaran.
Bagaimanapun, situasi berbeza dialami oleh Palo Alto Networks yang menyaksikan sahamnya menjunam 6.8% susulan tindakan syarikat tersebut menyemak semula dan menurunkan unjuran keuntungan tahunannya.
Beralih kepada pergerakan indeks utama, S&P 500 meningkat 0.56% kepada 6,881.31 mata, Dow Jones melonjak 0.26% kepada 49,662.66 mata, manakala Nasdaq Composite pula menokok 0.78% kepada 22,753.64 mata.
Jumlah dagangan di bursa AS dilihat bergerak perlahan dengan $16.8 bilion saham diniagakan berbanding purata $20.7 bilion saham sepanjang 20 sesi sebelumnya.
























































