“Haih kenapa la kripto ni sangat dibenci ramai, bukannya ada buat salah apa-apa pun.”
Balaji Srinivasan, bekas Ketua Pegawai Teknologi (CTO) kepada bursa mata wang kripto Coinbase memberi amaran bahawa beberapa syarikat teknologi paling terkemuka di dunia bakal mengkhianati rakyat Amerika Syarikat (AS) suatu hari nanti.
Sekiranya negara G7 membenarkan rampasan aset digital maka syarikat gergasi teknologi seperti Apple, Microsoft dan Google dapat membantu mereka, kata Srinivasan lagi semasa berada dalam temu bual di podcast Impact Theory.
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk pulih daripada kemelesetan ekonomi, AS mungkin akan merampas aset digital termasuk Bitcoin (BTC) pada masa hadapan manakala syarikat teknologi pula dapat mengimbas peranti rakyat bagi menyerahkan kunci peribadi kepada pihak berkuasa.
Meskipun begitu, negara G7 bakal menghadapi masalah sebenar jika bertindak sedemikian dan wangnya akan semakin terkesan setelah banyak negara mula menimbulkan persoalan sama ada G7 dan China boleh rampas aset digital ataupun tidak.
Namun jika mereka tidak dapat merampas aset digital, ia membawa makna bahawa masyarakat boleh memiliki kripto mahupun emas digital tanpa sebarang had atau rintangan yang dapat beri kesan negatif kepada pelabur.
Srinivasan yang menghuraikan lagi sebab beliau sungguh percaya syarikat teknologi mampu bantu kerajaan rampas aset digital telah mendedahkan bahawa Apple, Google termasuk Microsoft mempunyai akses sistem pengendalian.
Memang tidak dinafikan itulah perkara paling dibimbangkan beliau susulan Apple memiliki kemas kini software dan Google pula boleh masuk ke Google Drive seseorang sementara Microsoft mempunyai Windows.
Rentetan itu, syarikat teknologi tersebut secara teorinya dapat mengimbas hard drive seseorang kemudian mengambil kunci peribadinya untuk merampas aset digital mereka sekiranya diarahkan oleh kerajaan.