Duta Vietnam ke Malaysia, Dich Ngoc Linh menegaskan komitmen Hanoi memperkukuh hubungan dengan Kuala Lumpur dan berbangga menjadi rakan strategik komprehensif Malaysia di Asia Tenggara.
Menurut Dich, bulan November 2024 menandakan detik bersejarah apabila Vietnam dan Malaysia bersetuju meningkatkan hubungan ke tahap Rakan Strategik Komprehensif semasa lawatan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam ke Malaysia.
Beliau juga menekankan bahawa rangka kerjasama yang terjalin telah mewujudkan asas dan hala tuju penting bagi hubungan dua hala dalam era baharu.
Kerjasama tersebut berasaskan beberapa tonggak utama termasuk memperkukuh hubungan politik, pertahanan dan keselamatan serta meningkatkan kesalinghubungan ekonomi bagi pembangunan mampan.
Tonggak utama lain merangkumi memperluas kerjasama dalam bidang baharu seperti transformasi digital, tenaga boleh diperbaharui serta memperkukuh penyelarasan dalam isu antarabangsa dan pelbagai hala.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau berucap pada majlis resepsi sempena sambutan Hari Kebangsaan Vietnam ke-80.
Majlis resepsi itu turut dihadiri oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai tetamu kehormat bersama para duta, anggota kor diplomatik, pesuruhjaya tinggi, pegawai kanan serta wakil kementerian dan organisasi Malaysia.