“Setiap hari ada je tindakan yang dilakukan oleh Binance, esok apa la pula.”
Bursa gergasi mata wang kripto Binance pada 26 Julai semalam dilaporkan menarik balik permohonan lesen penjagaan aset digital di Jerman.
Terdahulu pada 29 Jun 2023, Pihak Berkuasa Penyeliaan Kewangan Persekutuan Jerman (BaFin) telah menolak lesen penjagaan aset digital oleh Binance, tetapi pada masa itu masih tidak jelas sama ada pengawal selia secara rasmi menafikan permohonan bursa kripto itu ataupun memaklumkan melalui lisan.
Bagaimanapun, Binance pada masa ini mengesahkan bahawa mereka telah menarik balik permohonan lesennya secara rasmi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Binance Changpeng Zhao (CZ), pasukannya berhasrat untuk memohon semula lesen di Jerman tetapi mereka akan ubah permohonannya terlebih dahulu untuk mencerminkan perubahan dalam persekitaran kawal selia yang kian rumit.
Tambahnya lagi, Binance akan memberi tumpuan mematuhi peraturan Pasaran dalam Aset Kripto (MiCA) Kesatuan Eropah (EU) untuk menawarkan perkhidmatannya di pelbagai negara EU, tetapi rancangan perkembangannya telah tergendala susulan masalah kawal selia di Amerika Syarikat (AS).
Sebelum menarik balik lesen penjagaan kripto, Binance didapati keluar dari pasaran Belanda selepas gagal mendapatkan lesen pembekal perkhidmatan aset maya (VASP) daripada pengawal selia di negara itu kemudian turut menghentikan perkhidmatannya di United Kingdom (UK) dan Cyprus.
Umum mengetahui Binance pada masa ini bukan sahaja sedang disiasat di Perancis sejak awal tahun 2022 malah menghadapi pelbagai penyiasatan di AS daripada pengawal selia kewangan yang semakin bertindak agresif.
Setakat penulisan ini, harga Binance Coin (BNB) mendaki sebanyak 0.81% pada paras $239 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $36 bilion tetapi masih mencatatkan penurunan 0.82% sepanjang minggu lepas.