“Betul ke bersalah? Sebab bekas CEO tu kata dia adalah mangsa.”
Pasaran mata wang kripto sekali lagi menjadi perhatian apabila Stephen Ehrlich, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Voyager Digital yang kini sudah bankrap dikenakan tuntutan mahkamah oleh Suruhanjaya Dagangan Niaga Hadapan Komoditi (CFTC).
Hal ini kerana Ehrlich bukan sahaja didakwa melanggar peraturan derivatif malah mengelirukan pelanggannya berhubung keselamatan aset digital.
Kemudian, beliau dan Voyager Digital juga dituduh melaksanakan platform sebagai tempat perlindungan untuk aset digital pelanggan secara palsu.
Penyiasat CFTC yang membuat kesimpulan Ehrlich melanggar peraturan agensi sebelum tuntutan mahkamah telah menyebabkan pesuruhjaya badan kawal selia membincangkan sama ada ingin meneruskan tindakan penguatkuasaan atau tidak.
Namun, Ehrlich yang menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya berkata bahawa beliau telah dijadikan kambing hitam susulan sebelum ini tidak pernah menghadapi sebarang masalah sepanjang tempoh perkhidmatannya di syarikat awam.
Umum mengetahui bahawa dakwaan terhadap Ehrlich telah timbul sejurus selepas Voyager Digital mengalami kebankrapan pada Julai 2022 semasa pasaran kripto menyaksikan kejatuhan yang agak ketara.
Ditambah pula terdapat kejatuhan stablecoin Terra Luna pada Mei 2022, di mana Voyager Digital terpaksa menghentikan pengeluaran pelanggan walaupun mempunyai aset lebih $1 bilion dan 100,000 pemiutang.