AMAZON – Titik Peluh Tauke Kedai Buku, Akhirnya Jadi e-Commerce Terbesar Di Dunia

675

Amazon.com sangat sinonim sebagai gedung buku elektronik (e-book) namun wawasan pengasasnya, Jeff Bezos mengubah dinamik syarikat sehingga menjadi salah satu aset berharga industri teknologi Amerika Syarikat (AS).

Penubuhan Amazon.com

Dilancarkan pada 1994, Jeff Bezos memilih untuk menjual buku atas talian (online) kerana dirasakannya produk tersebut lebih sesuai ketika waktu itu berdasarkan kejayaan kedai buku Computer Literacy dalam bidang tersebut pada 1991.

Malah, beliau nekad meninggalkan pekerjaannya sebagai eksekutif di firma Wall Street kerana melihat peluang baru terhadap kemunculan internet ketika itu.

Tahukah anda pada mulanya, nama syarikat yang dipilih oleh Bezos adalah Cadabra Inc yang kemudiannya ditukar kepada Cadaver Inc. Kemudiannya, ditukar pula kepada Relentless.com, namun ditegur rakannya kerana kedengaran agak ‘jahat’.

Akhirnya, Bezos memilih nama AMAZON kerana mahukan syarikatnya menjadi carian pertama berdasarkan urutan abjad A-Z, selain menegaskan bahawa teras perniagaan adalah teknologi dan bukan peruncitan.

Ketika itu Bezos menyatakan bahawa objektif utama beliau adalah untuk mengaplikasikan internet dengan memudahkan transaksi online untuk pengguna.

Teras awal perniagaan adalah tertumpu kepada penjualan buku kerana Bezos melihat sambutan terhadap produk tersebut sangat memberangsangkan.

Pada tahun 1994, keuntungan pada jualan buku selepas baru sahaja 2 bulan Amazon.com dilancarkan telah mengutip sebanyak $80,000 sebulan. Menariknya, tiada siapa menyangka 25 tahun selepas itu, jumlah $80,000 tersebut dijana setiap 14 saat!

Ternyata wawasan Bezos berjaya direalisasikan dengan pengenalan Amazon.com apabila mencatat hasil sebanyak $15.7 juta pada 1996 dan $148 juta tahun berikutnya sehingga beliau muncul di dalam majalah Time 1999 Person of the Year.

Bertitik tolak dari sana, Amazon.com lebih rancak menjual produk pengguna dari barangan elektronik, permainan video dan perisian komputer dan kemudiannya memasuki penyenaraian awam (IPO) di Nasdaq pada Mei 1997 dengan nilai sesaham ketika itu $18.

Paras tertinggi dicapai oleh saham Amazon.com adalah pada tahun 2021 yang lalu sekitar $188, sebelum menyusut semula ke sekitar $100 pada penghujung 2022.

Cabaran Di Awal Penubuhan Syarikat

Selepas mengalami liku-liku perniagaan di mana turut pernah disaman oleh Barnes & Noble (pada 1997) dan Walmart (pada 1998), Bezos akhirnya membuat keputusan untuk memperluaskan kategori produk jualannya dan tidak terhad kepada jualan buku sahaja.

Pada tahun 1998, ketika inilah The Everything Store diperkenalkan dan hampir semua kategori produk disenaraikan dalam jualan Amazon.com.

Ternyata pelancaran strategi itu berjaya sehingga melonjakkan jumlah keuntungan Amazon.com mencapai $1 bilion dan menempa nama sebagai syarikat e-commerce terbesar dalam sejarah dunia.

Menguji kredibiliti Jeff bezos sebagai peneraju syarikat, Amazon.com berjaya bertahan ketika krisis Dot-com bubble melanda dunia pada lewat 1990-an yang menyaksikan banyak syarikat dan perniagaan gergasi yang lain telah tumpas.

Pada waktu itu, pelabur mula beransur keluar dan menarik diri dari syarikat dan mengakibatkan saham Amazon.com telah menjunam dari paras $113 sehingga $5, penurunan mencecah 95%!

Kemudiannya, krisis mula mereda dan Amazon.com berjaya melangkah semula untuk berkembang dari tahun ke tahun.

Kegemilangan Amazon.com Selepas Krisis

Zaman kegemilangan Amazon dipercayai adalah pada tempoh tahun 2002 dengan pelancaran Amazon Web Services (AWS) yang mengumpulkan trafik pengguna dan corak internet pengguna.

Pengenalan tersebut telah membuka lembaran baru dalam internet iaitu pengkomputeran awan (cloud computing), di mana pengguna boleh menyimpan segala data dalam internet tanpa perlu memiliki sebuah komputer.

Idea gila Bezos muncul lagi pada tahun 2005 dengan pengenalan strategi penghantaran percuma selama 2 hari di Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai Amazon Prime.

Namun, strategi ini sebenarnya mengundang kerugian yang begitu besar kepada syarikat ke atas kos penghantaran malah dikatakan masih menanggung kerugian tersebut sehingga ke hari ini. Jadi bagaimana Bezos buat keuntungan dengan strategi tersebut?

Amazon.com masih menerima keuntungan melalui subsidi anak-anak syarikat gergasi yang dimilikinya seperti IMDb, Zappos.com, Audible, Whole Foods Market, Twitch dan banyak lagi.

 

Kemudian pada 2006, Amazon mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai gergasi teknologi dengan melancarkan Elastic Compute Cloud (EC2) dan Simple Storage Service (S3) bagi tujuan pengembangan cloud computing.

Jeff Bezos Ramalkan Kejatuhan Amazon.com

Sungguhpun seorang yang berwawasan, Bezos juga seorang yang berpegang kepada realiti di mana beliau pernah meramalkan kejatuhan Amazon.com sebanyak 3 kali.

Kali pertama Bezos mengatakan Amazon.com akan jatuh adalah pada tahun 2013 dengan beliau menjelaskan bahawa sudah menjadi lumrah untuk syarikat-syarikat besar mengalami tempoh kegagalan suatu hari nanti dan pada tahun 2017 sekali lagi beliau bernada sama.

Kali ketiga beliau mengeluarkan ramalan adalah berkenaan kemungkinan Amazon.com akan bankrap ‘satu hari nanti’ dengan menggariskan jangka hayat sesuatu syarikat hanya bertahan 30 tahun sahaja.

Ramalan Bezos tersebut hampir menjadi kenyataan pada 2019 apabila beliau berdepan krisis rumah tangga apabila isterinya, MacKenzie Bezos memfailkan penceraian dan mengambil 4% kepentingan atau kira-kira 19.7 juta saham Amazon.com bersamanya.

Namun, nasib tampak menyebelahi Bezos kerana beliau masih memiliki 12% pegangan dalam Amazon.com untuk kekal menjadi ketua dan jutawan walaupun isu penceraian tersebut hampir memusnahkan syarikat.

Tetapi jangan dilupakan bahawa Bezos bukan sahaja seorang ahli perniagaan semata-mata, beliau juga merupakan seorang usahawan.

Jeff Bezos telah memperluaskan lagi perniagaan dan memperkembangkan Amazon.com dengan menggunakan perkhidmatan dron bagi penghantaran barangan selain turut menceburi bidang penerokaan angkasa bersama Blue Origin.

Malah, beliau dilihat sebagai pesaing utama Elon Musk yang turut menjadi calon dalam perlumbaan menuju angkasa, dan kedua-dua figura ini saling bertukar-tukar kedudukan dalam senarai individu terkaya di dunia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat