“AS rasanya degil sikit, dia mana suka belajar dengan negara lain.”
Stuart Alderoty, Ketua Pegawai Undang-undang (CLO) Ripple menasihatkan Amerika Syarikat (AS) belajar daripada Singapura dan negara lain yang berjaya mereka bentuk rangka kerja kawal selia ringkas serta jelas untuk pasaran mata wang kripto.
Hal ini kerana AS lebih berminat menumpukan perhatian pada politik berbanding dasar yang kukuh, ulas Alderoty sambil menambah bahawa situasi itu tidak berlaku di wilayah seperti Singapura, United Kingdom (UK), Eropah dan Dubai yang makin berkembang dalam inovasi aset digital.
Beliau telah menyuarakan kebimbangannya selepas Ripple memperoleh lesen Institusi Pembayaran Utama (MPI) daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada awal Oktober 2023, dan ini membawa makna ia boleh tawar perkhidmatan token pembayaran digital secara sah di dalam negara.
Susulan daripada lesen itu, banyak entiti berasaskan kripto cuba memindahkan perniagaannya di luar AS kerana terdapat pengawal selia seperti CFTC dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) yang sentiasa ingin gagalkan firma aset digital melalui tindakan undang-undang keras.
Misalnya, Coinbase dan Binance didakwa melanggar undang-undang sekuriti persekutuan oleh SEC pada Jun 2023 manakala Kraken pula dipaksa mencapai penyelesaian $30 juta dengan pengawal selia pada awal tahun ini.
Bagaimanapun, Singapura yang menerima firma berasaskan kripto telah mendapat pengiktirafan global atas sumbangannya ke arah perintis peraturan aset digital dan mudahkan perniagaan atau institusi kewangan menggunakan aset digital.
Perlu diberi perhatian, beberapa kes penggunaan untuk aset digital ini telah merentasi pembayaran rentas sempadan, kecairan kripto dan Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC).