Angkara Unjuran Lemah OPEC, Harga Minyak Jatuh!

203

Sentimen dalam pasaran komoditi hitam terus kelam disebabkan unjuran lemah daripada OPEC dan peningkatan kes COvid-19 yang berterusan di banyak negara telah meningkatkan kekhuatiran terhadap pemulihan permintaan minyak mentah dunia.

Komoditi hitam didagangkan bercampur-campur, di mana niaga hadapan minyak mentah Brent susut pada $39.53 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pula didagangkan rendah pada $37.24 setong pada sesi Eropah.

Pada Isnin, OPEC telah menurunkan unjuran permintaannya dalam laporan bulanan yang diterbitkan menjelang mesyuarat jawatankuasa pemantauan menteri bersama (JMMC) OPEC+ pada hari Khamis.

Mesyuarat itu akan membincangkan mengenai pematuhan pemotongan pengeluaran minyak mentah pada April, yang kemudiannya dikurangkan pada bulan Ogos. Bagaimanapun, tiada pemotongan lebih lanjut diharapkan daripada mesyuarat ini.

Dalam laporan terbaru, OPEC menjangkakan permintaan minyak mentah dunia pada tahun 2020 akan jatuh sebanyak 9.46 juta tong sehari, lebih tinggi daripada ramalan sebelum ini sebanyak 9.06 juta tong sehari.

Sementara permintaan minyak pada tahun 2021 pula dijangkakan meningkat 6.62 juta tong sehari, lebih rendah daripada yang diramalkan sebelum ini iaitu dengan kenaikan sebanyak 7 juta tong sehari.

Menurut OPEC, kesan wabak coronavirus terus memberi cabaran besar dan ia memerlukan tindakan dasar yang diselaraskan dari semua peserta pasaran minyak mentah termasuk OPEC+.

Anda mungkin juga berminat