Apa Itu Simposium Jackson Hole?

769

Simposium Jackson Hole merupakan acara persidangan ekonomi tahunan yang diadakan selama tiga hari bertujuan untuk membincangkan perihal isu ekonomi dunia.

Nama ‘Jackson Hole’ diambil daripada nama lembah gunung Jackson Hole yang berada di Wyoming, Amerika Syarikat di mana ia merupakan lokasi perjumpaan simposium ekonomi tersebut.

Acara ini akan dihadiri oleh ahli-ahli ekonomi termasuk pakar kewangan, pelabur, pekerja bank, ahli akademik, menteri kewangan dan individu yang berkaitan dengan dunia ekonomi.

Objektif utama Simposium Jackson Hole adalah untuk mewujudkan sebuah platform yang membolehkan perbincangan secara terbuka dibuat bagi membincangkan isu-isu berkaitan ekonomi dunia semasa.

Hasil perbincangan dan penyelesaian yang diperoleh daripada simposium tersebut akan dimuat naik di laman web untuk menjadi rujukan dalam membantu meleraikan isu-isu ekonomi yang berlaku.

Sejarah simposium Jackson Hole ini sebenarnya telah bermula sejak tahun 1978 lagi, di mana pada awalnya perjumpaan tersebut hanya memfokuskan pada bidang agrikultur.

Namun pada tahun 1982, fokus perjumpaan ini telah beralih kepada polisi monetari yang dihadiri oleh pengerusi Federal Reserve (Fed) sendiri pada ketika itu iaitu Paul Volcker.

Selain itu, pemenang hadiah nobel ekonomi, James Tobin dan ahli ekonomi yang lain juga turut hadir pada simposium pada waktu tersebut.

Pada tahun 1989, Alan Greenspan yang merupakan pengerusi Fed pada ketika itu telah memberikan ucapannya dalam perjumpaan tersebut sekaligus menjadikan simposium Jackson Hole ini sebagai sebuah perjumpaan ekonomi yang bertauliah dan diyakini.

Setiap tahun, tajuk untuk perjumpaan adalah berbeza dan begitu juga dengan tetamu jemputan yang hadir.

Pemilihan tetamu jemputan adalah berdasarkan tajuk dan bidang kepakaran tetamu jemputan tersebut pada setiap tahun.

Selepas tajuk dipilih, pakar ekonomi yang dijemput dikehendaki menulis sebuah esei tentang subtopik yang berkenaan dengan tajuk simposium pada tahun tersebut.

Simposium Jackson Hole ini telah ditaja oleh Bank Perbendaharaan Kansas, Jackson Hole, Wyoming sejak 1981 lagi.

Ia dikenali sebagai simposium berterusan yang paling lama ditaja oleh sesebuah bank pusat di dunia.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat