Bagaimana Sentimen Pasaran Saham Hari Ini?

350

Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini sebelum susut selepas kemunculan aktiviti pengambilan untung, diikuti dengan prestasi lesu semalaman di Wall Street.

Pada pukul 9.07 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) lega 0.45 mata kepada 1,605.69 daripada 1,606.14 ketika ditutup pada petang Selasa.

Lapor Bernama, indeks utama dibuka 3.37 mata lebih tinggi kepada 1,609.51.

Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 302 berbalas 225 manakala 359 kaunter tidak berubah, 1,282 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 585.24 juta unit bernilai RM260.31 juta.

Di Wall Street, indeks S&P 500 turun 0.06%, Dow Jones naik 0.2% dan Nasdaq susut 0.34%.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam catatannya, firma itu percaya sentimen seharusnya kekal positif walaupun trend dagangan bercampur-campur di Wall Street dan lanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri.

“Kami berpendapat kenaikan berterusan harga minyak mentah dan garis masa yang lebih jelas untuk program vaksinasi Covid-19 akan menjadi tumpuan ekonomi untuk pulih.

“Memandangkan kita akan memasuki musim pelaporan prestasi kewangan, syarikat-syarikat yang pastinya mencatatkan keuntungan tinggi akan mendapat lebih perhatian,” ujarnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun tujuh sen kepada RM8.07, PChem susut lima sen kepada RM7.70 manaka IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.10.

Sementara itu, Public Bank naik dua sen kepada RM4.24 dan Tenaga menokok lima sen kepada RM9.95.

Untuk kaunter paling cergas, DGB Asia, Sapura Energy, Velesto dan Techna-X masing-masing meningkat satu sen kepada 15.5 sen, 14.5 sen, 16 sen dan 17 sen sementara Dagang Nexchange dan Icon Offshore naik setengah sen setiap satu menjadi 54.5 sen dan 13 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 4.32 mata kepada 11,745.68, Indeks FBMT 100 turun 6.17 mata kepada 11,441.32 sementara Indeks FBM Emas Syariah meningkat 12.4 mata pada 13,194.56.

FBM 70 turun 19.84 mata kepada 15,418.45 dan FBM ACE menyusut 78.22 mata kepada 11,273.9.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 51.23 mata kepada 15,138.51, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.32 mata kepada 183.97 manakala Indeks Perladangan naik 9.42 mata kepada 7,123.68.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat