“Bagus Binance, tak lemah dan sentiasa bertindak pantas.”
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Binance, Chanpeng Zhao (CZ) dan Samuel Lim iaitu Ketua Pegawai Pematuhan (CCO) rancang untuk menolak tuntutan mahkamah Suruhanjaya Dagangan Niaga Hadapan Komoditi (CFTC) yang difailkan pada Mac 2023.
Menerusi pemfailan mahkamah semalam, maklum balas kepada aduan CFTC akan dilaksanakan pada 27 Julai 2023, oleh itu Binance sebagai defendan yang ingin kemukakan usul untuk tolak tuntutan mahkamah itu telah meminta kebenaran tulis usul melebihi 15 muka surat.
Terdahulu pada Mac tahun ini, CFTC telah mendakwa bahawa Binance dan CZ melanggar peraturan derivatif Amerika Syarikat (AS) sambil mengembangkan jejaknya untuk jadi platform dagangan kripto terbesar di dunia.
Sementara Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) turut menuduh Binance salah mengendalikan dana pelanggan, mengelirukan pelabur dan melanggar peraturan sekuriti, tetapi bursa kripto itu telah menafikan dakwaan tersebut sekeras-kerasnya.
Susulan Binance kini sedang menghadapi penyiasatan kawal selia di pelbagai negara, volum dagangan aset digital spot di bursa kripto tersebut telah menghadapi penurunan.
CZ pada bulan Julai 2023 sedang cuba menangani kebimbangan mengenai masa depan platformnya selepas beberapa eksekutif meninggalkan syarikat tersebut di tengah-tengah krisis kawal selia yang masih belum selesai.
Walaupun perlu mengharungi pelbagai cabaran, Binance yang terus beri tumpuan pada perkembangan dan kemajuan selanjutnya telah menyenaraikan Worldcoin (WLD) diasaskan oleh Sam Altman iaitu CEO OpenAI.
Setakat penulisan ini, Binance Coin (BNB) menjunam sebanyak 1.85% pada paras $237 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $36 bilion seterusnya merekodkan penurunan 1.64% sepanjang minggu lepas.