“Pelabur takut ke tu? Hmm agaknya pasaran kripto akan naik atau turun pada minggu ini?”
Harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) yang setakat ini masih berada dalam momentum mendatar mungkin bakal menyaksikan pergerakan volatile dalam masa terdekat ini susulan daripada beberapa acara penting makroekonomi.
Antara acara pentingnya adalah mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada awal pagi Khamis minggu ini yang mampu menyebabkan harga BTC turun naik tidak menentu sama seperti situasi sebelum ini.
Hal ini kerana para pelabur akan meneliti kenyataan dikeluarkan oleh Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell supaya mereka dapat menentukan sama ada bank pusat Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah atau tidak pada baki tahun 2023.
Turut dijadualkan pada minggu ini ialah data indeks inflasi PCE AS pada penghujung minggu yang akan turut diteliti bank pusat untuk penilaian terhadap situasi perbelanjaan pengguna.
Selain FOMC dan PCE, calon Presiden AS Robert F. Kennedy Jr yang bersedia untuk bercakap mengenai BTC dalam temu bualnya bersama The Wolf Of All Streets pada 26 Julai dijangka dapat melonjakkan harga BTC.
Baru-baru ini, beliau bukan sahaja berjanji untuk menyokong BTC termasuk dolar AS malah berhasrat mengecualikan kripto daripada cukai sekiranya dipilih sebagai presiden.
Bagaimanapun, BTC termasuk seluruh pasaran kripto berupaya beralih ke fasa pemulihan dan terkesan dalam beberapa hari lagi susulan pasaran saham AS mungkin akan mengalami penurunan secara besar-besaran.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 0.52% pada paras $29,981 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $582 bilion tetapi tetap mencatatkan penyusutan 0.80% sepanjang minggu lepas.