BNM Kekal Kadar OPR Pada 1.75%

301

Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75% semalam selepas menyaksikan ekonomi global terus pulih, didorong oleh pemulihan dalam aktiviti perkilangan dan eksport.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh BNM semalam, kegiatan ekonomi dilihat meningkat dalam kebanyakan ekonomi maju dan serantau selain momentum pemulihan yang lebih ketara di China.

“Bagi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan kegiatan ekonomi meningkat dengan ketara pada suku ketiga. Pengenalan langkah-langkah bersasar untuk membendung COVID-19 di beberapa negeri boleh menjejaskan momentum pemulihan pada suku keempat. Walau bagaimanapun, pertumbuhan bagi tahun 2020 dijangka berada dalam julat unjuran sebelum ini.

“Bagi tahun 2021, kegiatan ekonomi diunjurkan semakin bertambah baik. Peningkatan ini akan didorong oleh permintaan global yang semakin pulih, perbelanjaan sektor swasta dan awam yang kembali pulih dalam keadaan sokongan yang berterusan daripada langkah-langkah dasar, dan pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti sedia ada dan baharu,” kata BNM.

Walau bagaimanapun, BNM memberi amaran penularan semula kes Covid-19 akan mengakibatkan pemulihan ekonomi global kekal tidak sekata dalam tempoh waktu terdekat ini.

“Kadar pemulihan ini dijangka tidak sekata merentas sektor, dengan kegiatan ekonomi dalam beberapa industri terus berada di bawah paras sebelum pandemik, dan peningkatan yang lebih perlahan dalam pasaran pekerja. Risiko pertumbuhan yang rendah masih wujud, berpunca terutamanya daripada ketidakpastian yang berterusan berhubung dengan pandemik pada peringkat global dan dalam negeri,” ujar kenyataan itu lagi.

Dari segi inflasi, BNM memaklumkan purata inflasi keseluruhan dijangka negatif pada tahun 2020 memandangkan harga minyak dunia yang jauh lebih rendah manakala bagi tahun 2021, purata inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi.

“Walau bagaimanapun, prospek akan terus dipengaruhi dengan ketara oleh harga minyak dan komoditi dunia.

“Inflasi asas dijangka kekal rendah pada tahun 2021 dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi,” jelas BNM.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menyifatkan pengurangan OPR sebanyak 125 mata asas secara kumulatif pada tahun ini akan terus merangsang ekonomi.

“MPC akan terus menilai keadaan yang sentiasa berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri secara keseluruhan.

“BNM terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan,” menurut kenyataan berkenaan.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat