“Pasaran kripto dah hijau-hijau la, tapi boleh ke harganya teruskan momentum menaik?”
Raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) pada awal pagi ini berjaya memberi kejutan kepada para pelabur apabila harganya didapati menembusi $28,000 setelah sekian lama berlegar-legar di bawah paras $27,000.
Selain BTC, kripto kedua terbesar Ethereum (ETH) turut menyaksikan pendakian ketara susulan harganya telah mencecah $1,751 daripada $1,668 manakala Ripple (XRP) pula sudah melepasi $0.50.
Oleh demikian, kebanyakan pelabur berpandangan pergerakan secara tiba-tiba dilakukan oleh pasaran kripto adalah disebabkan ketibaan “Uptober” manakala komuniti lain pula berkata bahawa seseorang telah mengetahui sesuatu yang tidak diketahui orang lain.
Secara konteks, Uptober ialah istilah kripto untuk Oktober susulan ia merupakan bulan bullish untuk harga BTC termasuk aset digital lain.
Namun, salah satu peristiwa penting yang sedang dilihat pasaran kripto pada masa ini ialah potensi kelulusan spot BTC ETF oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) tetapi majoriti penganalisis menjangkakan Januari 2024 adalah tarikh penting untuk pengumuman sedemikian.
Suka dimaklumkan pedagang yang memegang posisi spot dan long mungkin telah menjana keuntungan lumayan susulan daripada kenaikan harga BTC itu, bagaimanapun nasib short seller tidak sama kerana $70 juta dalam posisi short dicairkan dalam masa dua jam sahaja.
Menerusi pemerhatian, short BTC bernilai hampir $36 juta dan $23 juta dalam short ETH telah dicairkan apabila harga kedua-dua aset digital tersebut secara tiba-tiba memberi pergerakan mengejutkan pada pembukaan sesi pasaran Asia hari ini.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 3.13% pada paras $27.842 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $542 bilion manakala ETH pula mencatatkan kenaikan 2.88% pada $1,721 dan XRP raih 1.35% pada $0.52.