Pada jam 9.05 pagi penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 7.33 mata pada 1,581.22 daripada penutupan Khamis pada 1,573.89.
Indeks dibuka kukuh 5.18 mata pada 1,579.07.
Ia dibuka pada nota positif seiring prestasi memberangsangkan di Wall Street semasa krisis Rusia-Ukraine melanda dunia dan kepercayaan bahawa Federal Reserve (Fed) Amerika Syarikat (AS) tidak terlalu agresif untuk membuat tapering.
Di pasaran meluas, pelabur menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi dengan 313 berbanding 134, manakala 215 kaunter pula tidak berubah, 1,623 tidak didagangkan dan 67 digantung.
Jumlah perolehan pada 227.35 juta unit bernilai RM160.38 juta.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata aktiviti bargin-hunting mendokong indeks-indeks utama Wall Street untuk memulihkan kerugian semasa sesi dan bursa tempatan juga bakal memperlihatkan aktiviti yang sama tidak lama lagi.
Saham berwajaran tinggi menyaksikan Maybank naik 11 sen pada RM8.81, Public Bank Bhd tambah 3 sen pada RM4.31, Petronas Chemicals Group Bhd canak 9 sen pada RM9.29, IHH Healthcare Bhd capai 12 sen pada RM6.52 dan CIMB Group Holdings Bhd capai 6 sen pada RM5.54.
Saham aktif memperlihatkan Dagang NeXchange (DNeX) macu 3 sen pada RM1.17, Ta Win Holdings Bhd kukuh 0.5 sen pada 15 sen dan DGB Asia Bhd kekal pada 2 sen.
Di papan indeks, FBM Emas capai 63.23 mata pada 11,282.36, FBMT 100 kukuh 60.63 mata pada 10,955.94, FBM Emas Shariah pacu 44.79 mata pada 11,989.91, FBM 70 tambah 117.72 mata pada 13,457.51 dan FBM ACE mekar 70.04 mata pada 5,938.96.
Segi sektor, indeks Industri Produk dan Perkhidmatan mencapai 2.18 mata pada 208.72, indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 119.41 mata pada 16,279.18 dan indeks Perladangan mekar 7.35 mata pada 8,029.43.