MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangkakan momentum positif pasaran Bursa Malaysia akan berterusan pada suku keempat 2024, dipacu oleh pelaburan asing dan disokong oleh ekonomi yang sihat serta prospek pendapatan korporat yang memberangsangkan.
Katanya lagi, penanda aras FBM KLCI menunjukkan kenaikan yang lebih stabil berbanding negara rakannya di Asean apabila mencatatkan kenaikan sebanyak 15% sejak awal tahun hingga 25 September.
Pada suku kedua, FBM KLCI yang bermula dengan baik di mana ia tidak mengalami sebarang kelembapan.
Saham tempatan itu mendapat manfaat daripada perubahan sentimen ke arah positif. Ia mencatatkan kenaikan suku ke suku yang memberangsangkan sebanyak 5.2% pada suku ketiga.
Memandangkan prospek mudah tunai dan asas yang masih positif, MIDF mengekalkan sasaran FBM KLCI, FBM Hijrah dan FBM70 untuk 2024 kepada 1,750 mata, 14,100 mata dan 18,900 mata.
Mereka juga menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini lebih tinggi kepada 5.0% dan ia berkurangan sedikit kepada 4.6% pada 2025.
Mesyuarat FOMC Amerika Syarikat baru-baru ini merujuk kepada lebih banyak pemotongan kadar faedah pada akhir tahun ini selepas pemotongan awal sebanyak 50 mata asas pada September.
Pasaran hadapan kadar faedah menjangkakan dua lagi pemotongan kadar pada tahun ini dengan jumlah tambahan sebanyak 75 mata asas serta beberapa pemotongan kadar pada 2025.
Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah pada 2024 dan 2025.
Jarak perbezaan kadar faedah antara ringgit dan dolar AS dijangka terus berkurangan sehingga tahun depan. – Bernama