Bursa Malaysia Terima Berita Gembira

746

Bursa Malaysia meneruskan aliran meningkat semalam untuk dibuka tinggi pagi ini, berikutan sentimen pasaran kekal positif susulan pelaksanaan vaksin yang lebih jelas, kata peniaga.

Lapor Bernama, pada 9.04 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.49 mata kepada 1,647.99 selepas dibuka tinggi 1.58 mata kepada 1,649.08.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 292 berbanding 109, manakala 1,425 kaunter tidak berubah, 322 tidak diniagakan dan 38 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.03 bilion unit bernilai RM315.07 juta.

Dalam nota hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd menjangka momentum positif akan kekal hari ini, menjelang hujung minggu yang panjang.

Firma penyelidikan itu yakin peserta pasaran menjangka berita mengenai Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan Solar Berskala Besar 4 (LSS4) akan keluar tidak lama lagi.

Selain itu, pakar kesihatan telah memberi kenyataan bahawa pengeluaran vaksin Covid-19 akan berkesan terhadap varian baharu, yang boleh menarik semula minat dagangan terhadap saham yang pulih.

“Kami menjangka saham bahan binaan akan terus mendapat tumpuan berikutan duti anti-lambakan yang dikenakan pada produk keluli import yang terpilih.

“Sementara itu, saham yang pulih seperti penerbangan dan permainan boleh meningkat semula dengan lebih tinggi berikutan keyakinan terhadap pembangunan vaksin,” katanya, sambil menambah paras halangan kini pada 1,660-1,680, manakala paras sokongan pada 1,620, diikuti 1,600.

Daripada saham wajaran tinggi, Public Bank meningkat 10 sen kepada RM20.70, Tenaga naik dua sen kepada RM10.70, Top Glove menambah satu sen kepada RM6.57, manakala Petronas Chemicals dan IHH Healthcare, masing-masing tidak berubah pada RM7.58 dan RM5.65.

Sebaliknya, Maybank susut dua sen kepada RM8.47.

Daripada saham cergas, Fintec susut setengah sen kepada sembilan sen, Masteel naik 2.5 sen kepada 54.5 sen, manakala Hiap Teck dan Talam, masing-masing tidak berubah pada 46.5 sen dan 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 16.7 mata kepada 11,853.55, Indeks FBMT 100 meningkat 11.52 mata kepada 11,612.32, Indeks FBM Emas Shariah menokok 7.56 mata kepada 13,315.06, FBM 70 naik 46.36 mata kepada 15,145.81 dan FBM ACE meningkat 46.11 mata kepada 10,699.66.

Sementara itu, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.42 mata kepada 175.89, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 43.27 mata kepada 15,334.91 dan Indeks Perladangan menambah 37.02 mata kepada 7,404.51.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat