China Mahu Berbaik Dengan Negara Asean?

506

China dilaporkan memanggil diplomat-diplomat negara anggota Asean bagi mengadakan pertemuan untuk membincangkan mengenai kebimbangan terhadap konflik memuncak di wilayah Laut China Selatan.

China sebelum ini turut mengadakan pertemuan yang serupa pada awal bulan ini berikutan wujud aktiviti ketenteraan oleh Amerika Syarikat (AS) yang ‘berisiko tinggi’.

Menurut seorang pegawai China yang enggan didedahkan identitinya, Beijing mahu mengadakan pertemuan buat kali kedua dengan bagi membincangkan mengenai kod tata laku di Laut China Selatan secepat mungkin.

Tambah pegawai berkenaan, China tidak mahu proses pertemuan itu diganggu oleh negara-negara yang bukan sebahagian daripada pertemuan itu.

Sementara itu, para diplomat Asean percaya pertemuan itu menggambarkan keinginan China untuk memastikan negara-negara di Asia berpihak kepada mereka dan tidak menyebelahi AS.

Beijing juga dikatakan baru-baru ini menunjukkan kesudian untuk mencari jalan bagi menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan.

Selama lebih dua dekad, China dan negara Asean telah berbincang mengenai potensi kod tata laku untuk menyelesaikan isu di wilayah pertikaian tersebut.

Sewaktu sidang kemuncak Asean-China pada November tahun lalu, Perdana Menteri China, Li Keqiang mencadangkan kod tata laku itu akan diselesaikan menjelang tahun depan namun rundingan terpaksa ditangguhkan berikutan Covid-19.

Aktiviti perdagangan antarabangsa bernilai AS$3.4 trilion melalui Laut China Selatan setiap tahun.

Tuntutan China terhadap hampir keseluruhan kawasan Laut China Selatan mendapat bantahan daripada Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat