Covid-19 Sekali Lagi Mencengkam Pasaran!

410

US dolar kekal mengukuh walaupun memaparkan sedikit penyusutan pada awal sesi Asia di tengah-tengah sentimen berisiko yang terus mencengkam pasaran mata wang.

Penularan baharu Covid-19 di Beijing dan penutupan berterusan di Shanghai telah menimbulkan ketidakpastian baharu terhadap pertumbuhan ekonomi global, sekali gus mengheret mata wang utama lebih rendah.

Ini ditambah pula dengan jangkaan untuk kenaikan kadar faedah lebih cepat oleh Federal Reserve (Fed) yang terus memberi sokongan buat raja mata wang US dolar menguat.

Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan mengukuh pada 101.56, manakala hasil bon AS 10 tahun pula sedikit susut pada 2.81%.

Mata wang lain yang mendapat sokongan daripada ketidaktentuan di China, adalah yen Jepun yang mempamerkan prestasi terbaiknya sebagai safe-haven.

Dolar Aussie merosot parah sehingga paras terendah dua bulan yang menyusuli kejatuhan dalam harga komoditi selepas terkesan dengan laporan mengenai penutupan baharu di Chaoyang, Beijing.

Tumpuan pelabur kini tertumpu kepada penerbitan data inflasi Australia pada Rabu yang akan menjadi penentu kepada keputusan kadar faedah oleh Bank Pusat Australia (RBA) seterusnya.

Mengikuti perkembangan mata wang Eropah, euro kembali stabil selepas menjunam ke paras terendah sejak Februari 2020 sementara pound pula kekal suram di tahap terlemah sejak September 2020.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat