Data-data Ekonomi Ini Punca USD Terus Tertekan!

360

US dolar kekal di bawah tekanan ketika kebanyakan mata wang utama lain pula mencatat pengukuhan ekoran data-data ekonomi yang menunjukkan faktor untuk lebih banyak kenaikan kadar faedah.

Mencerap data yang telah dikeluarkan pada Selasa, inflasi teras Jepun melonjak paling tinggi lebih 30 tahun kepada 3.1% pada Disember berbanding kekal pada 2.9% yang dijangkakan.

Ini membantu dagangan yen untuk kekal stabil pada sekitar harga 130.00 berbanding US dolar setelah susut pada minggu lalu akibat keputusan Bank of Japan (BOJ) yang mengingkari jangkaan pasaran.

Sementara itu, euro mencecah paras tertinggi 9 bulan pada Isnin susulan kenyataan hawkish daripada ahli majlis pentadbiran Bank Pusat Eropah (ECB) Klaas Knot dan Peter Kazimir yang menyokong dua lagi kenaikan 50 mata asas pada mesyuarat polisi Februari dan Mac.

Pengukuhan euro kemudiannya berterusan pada sesi Asia hari ini, selepas data pada Selasa menunjukkan aktiviti perkhidmatan di Zon Eropah mencatat pertumbuhan mengejut pada Januari, dengan penurunan dalam pembuatan mula mereda.

Berbeza pula di Amerika Syarikat, aktiviti perkhidmatan dan pembuatan kekal berada di bawah penguncupan pada Januari walaupun kemerosotan yang dicatatkan mula menyederhana buat kali pertama sejak September.

Ekoran itu, dolar greenback terus dalam tekanan menjelang terbitan data anggaran awal keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS bagi suku keempat pada Khamis.

Selain itu, mata wang pound kembali stabil setelah merosot ekoran kelemahan yang dipaparkan dalam data pembuatan dan perkhidmatan UK pada bulan ini, yang menandakan risiko kemelesetan berterusan di negara itu.

Di sisi lain, dolar Aussie mencatat pengukuhan pada sesi Asia (Rabu) susulan inflasi Australia terus meningkat pada suku keempat, berbeza dengan dolar kiwi yang menyusut ekoran inflasi yang mereda pada suku akhir 2022.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat