Data Ekonomi AS Bercampur, US Dolar Terus Kekal Berisiko!

181
  • Data ADP beri petunjuk kurang baik untuk sektor buruh
  • Tinjauan ISM sektor perkhidmatan AS tertinggi sejak Ogos 2023
  • BOC turunkan kadar faedah 25 mata asas

Pasaran mata wang didagangkan rancak pada sesi New York semalam dengan tumpuan kepada beberapa data ekonomi penting yang diterbitkan.

US dolar telah melemah di awal pembukaan sesi tersebut apabila laporan data pekerjaan ADP yang mengukur sektor swasta di Amerika Syarikat (AS) catatkan bacaan sebanyak 152,000 untuk bulan Mei yang lebih rendah berbanding ramalan 173,000.

Ini boleh menjadi petunjuk awal terhadap bacaan NFP di penghujung minggu yang berkemungkinan juga akan merosot.

Namun, US dolar berjaya mengukuh semula ketika data tinjauan ISM sektor perkhidmatan AS pula menyusul.

Bacaan angka untuk bulan Mei meningkat tinggi ke paras 53.8 mata melepasi ramalan 51.0, menunjukkan pemulihan semula pada sektor perkhidmatan yang mencatatkan penguncupan pada bulan sebelum ini.

Bacaan terbaru itu juga merupakan angka tertinggi yang dicatatkan sejak Ogos tahun lalu.

Situasi ini dilihat menambahkan ketidaktentuan dalam jangkaan terhadap langkah pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed).

Justeru, petunjuk seterusnya akan diperhatikan menerusi laporan pekerjaan NFP pada Jumaat esok sebelum data inflasi AS akan menyusul pula pada minggu hadapan.

Selain itu, turut mencuri perhatian pada dagangan sesi New York semalam adalah keputusan mesyuarat polisi Bank of Canada (BOC) yang menepati jangkaan untuk menurunkan kadar faedah sebanyak 24 mata asas.

BOC menurunkan kembali kadar faedah dari paras 5.00% kepada 4.75% selepas mengekalkannya selama 6 kali mesyuarat berturut-turut.

Ini telah mencetuskan spekulasi awal dalam pasaran bahawa bakal ada lebih banyak penurunan kadar dilakukan selepas ini.

Pada hari ini pula (Khamis), mesyuarat polisi European Central Bank (ECB) bakal diperhatikan dengan jangkaan kadar faedah turut akan diturunkan sebanyak 25 mata asas dari paras 4.50% sebelum ini kepada 4.25%.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat