Debaran Menanti Mesyuarat Polisi BOE, Pound Didagangkan Menyusut

697

Sentimen pasaran agak pasif berikutan kebimbangan mengenai coronavirus yang semakin meningkat sehingga memudarkan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi, selain turut dipengaruhi oleh bacaan data yang suram.

Pound didagangkan menyusut pada sesi pasaran Eropah menjelang mesyuarat polisi Bank of England (BOE) malam ini, sementara kegoyahan rundingan perdagangan UK dan EU terus membelenggu pasaran.

Pergerakan pound seterusnya akan dipengaruhi oleh BOE yang akan mengumumkan hasil daripada mesyuarat polisi terbaru mereka, di mana pasaran menjangkakan bank pusat akan mempertingkatkan pelonggaran kuantitatif dengan tambahan £100 bilion.

Bank pusat sebelum ini telah membelanjakan sebahagian besar daripada £200 bilion rangsangan yang dilancarkan pada Mac lalu bagi menampung hutang kerajaan dengan program pembelian bon dalam usaha untuk menyokong ekonomi UK.

Dengan kadar faedah ditetapkan pada 0.1%, Gabenor BOE, Andrew Bailey memberitahu bahawa perlaksanaan kadar faedah di bawah sifar turut dipertimbangkan oleh bank pusat, namun kajian terhadapnya mungkin akan mengambil masa.

Sementara itu, euro menokok sedikit berbanding USD, sementara tumpuan pasaran terarah kepada sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) yang akan berlangsung esok, di mana isu mengenai dana pemulihan COVID-19 dan belanjawan jangka panjang EU akan dibincangkan.

Dalam pada itu, dolar Aussie kembali mempamerkan peningkatan setelah susut disebabkan bacaan data pekerjaan yang lemah, dengan kadar pengangguran Australia melonjak ke tahap tertinggi dalam tempoh 19 tahun.

Kenyataan pakar virus CDC China, Wu Zunyou dalam satu sidang media bahawa penularan wabak coronavirus di Beijing kini berada dalam keadaan yang terkawal telah memacu peningkatan dolar Aussie dan kiwi pada sesi Eropah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat