Donald Trump Tamatkan Perbincangan Pakej Rangsangan Ekonomi AS!

470

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menamatkan perbincangan berhubung rang undang-undang pakej rangsangan Covid-19 dan hanya akan meneruskan rundingan selepas pilihan raya berlangsung.

Trump dengan penuh yakin mengatakan sebaik sahaja beliau ‘memenangi’ pilihan raya,  Rang Undang-Undang Rangsangan itu akan diluluskan bagi membantu rakyat Amerika yang bekerja keras.

Perbincangan mengenai rang undang-undang antara Speaker Demokratik, Nancy Pelosi dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin masih dijalankan.

Susulan tindakan Trump itu, calon Presiden Demokratik iaitu Joe Biden mendakwa Trump telah ‘membelakangkan’ rakyat Amerika.

“Beliau mengabaikan setiap pekerja yang masih belum mendapat pekerjaan. Beliau mengabaikan keluarga yang bergelut untuk membayar sewa, membeli makanan dan menjaga anak-anak mereka,” kata Biden dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Pelosi juga mengecam Trump dan mendakwa Presiden itu hanya mementingkan dirinya sendiri dan ‘rela mengorbankan negaranya’.

“Beliau menunjukkan penghinaannya terhadap sains, penghinaan terhadap wira-wira kita dan enggan memasukkan wang ke dalam poket pekerja kecuali namanya dicetak pada cek,” ujar Pelosi.

Berikutan pengumuman Trump itu, pasaran saham AS jatuh mendadak.

Pengumuman itu hadir selepas kes meningkat di beberapa kawasan di AS dan virus itu turut ‘menyerang’ beberapa pegawai Pentagon, kakitangan White House dan senator Republikan.

Ahli politik kedua-dua parti berharap pakej rangsangan Covid-19 untuk pusingan seterusnya boleh diluluskan menjelang pilihan raya pada 3 November ini namun kenyataan dikeluarkan oleh Trump itu telah ‘menguburkan’ harapan mereka.

Para penganalisis memberi amaran berkenaan pemulihan ekonomi berisiko terhenti tanpa sebarang bantuan tambahan. Walaupun separuh daripada rakyat Amerika yang kehilangan pekerjaan sebelum ini, berjaya mendapatkan pekerjaan semula namun lebih 10 juta orang masih menganggur.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat