Ekonomi Eropah Menyaksikan Kejutan Dengan Kembali Kepada Pertumbuhan

460

Sektor pembuatan dan perkhidmatan Eropah beransur-ansur kembali mempamerkan pemulihan pada bulan Jun dengan masing-masing memperlihatkan bacaan yang memberangsangkan.

Jerman, ekonomi terbesar Eropah merekodkan peningkatan dalam bacaan PMI pembuatan pada 44.6 daripada 36.6 yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, malah lebih baik dari unjuran untuk meningkat kepada 41.5.

Ini merupakan bacaan tertinggi dalam tempoh 3 bulan disebabkan sekatan coronavirus. Bagaimanapun, bacaan ini masih menunjukkan penguncupan dalam aktiviti pembuatan untuk bulan ke-18 berturut-turut.

Sementara sektor perkhidmatan pula meningkat pada 45.8 daripada catatan pada Mei, iaitu kepada 32.6 dan melebihi jangkaan untuk kenaikan pada 42. Bacaan terbaru ini menunjukkan penguncupan paling rendah dalam sektor ini ketika kebanyakan aktiviti perniagaan kembali beroperasi.

Di Perancis pula, aktiviti perkhidmatan turut memperlihatkan pemulihan dengan kenaikan ketara kepada 50.3 daripada 31.1 yang direkodkan bulan sebelumnya. Ini merupakan pengembangan pertama dalam sektor ini dalam tempoh 4 bulan.

Aktiviti pembuatan di Perancis merekodkan pengembangan terbesar sejak September 2018 dengan meningkat kepada 52.1 pada bulan Jun daripada 40.6, jauh tersasar dari jangkaan pasaran untuk peningkatan pada 46.

Secara keseluruhannya, aktiviti pembuatan dan perkhidmatan di Zon Eropah menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur dengan masing-masing direkodkan meningkat kepada 46.9 dan 47.3 pada bulan Jun. Bagaimanapun, bacaan ini masih memaparkan penguncupan tetapi pada tahap yang lebih baik.

Sesi pasaran Eropah turut menyaksikan penerbitan data pembuatan UK yang mencatatkan peningkatan kepada 50.1 pada Jun daripada 40.7, sementara sektor perkhidmatan pula meningkat dengan ketara pada 47.0 dari bacaan 29.0 pada bulan sebelumnya.

Sementara itu, IHS Markit dalam kenyataan susulan memberitahu bahawa data pada Jun menunjukkan tanda bahawa ekonomi akan kembali kepada pertumbuhan pada suku ketiga, yang menyaksikan kenaikan rekod dalam PMI untuk bulan kedua berturut-turut, mengesahkan bahawa ekonomi bergerak ke arah kestabilan setelah terkesan oleh Covid-19.

Walau bagaimanapun, ketika keyakinan bahawa ekonomi akan kembali ke pertumbuhan apabila sekatan terus dilonggarkan, prospek pemulihan jangka panjang tetap tidak menentu.

Anda mungkin juga berminat