Eksport Malaysia Susut, Catat Defisit Pertama Sejak 1997

438

Pergerakan ekonomi yang tergendala kerana wabak coronavirus mendorong eksport Malaysia bagi April 2020 menurun 23.8% kepada RM64.9 bilion tahun ke tahun, menjadikan penurunan terbesar sejak September 2009 ketika krisis kewangan global dan merekodkan bulan yang pertama Malaysia mencatatkan defisit dagangan sejak Oktober 1997.

Manakala, import negara pula mencatatkan penurunan sebanyak 8% kepada RM68.4 bilion. Ini menunjukkan penurunan eksport kepada nilai tersebut berlaku lebih pantas berbanding import dan mengakibatkan defisit perdagangan berjumlah RM3.5 bilion.

Jabatan Perangkaan mendedahkan import Malaysia menjangkaui nilai eksport berikutan import barangan modal bernilai RM10.1 bilion, menghasilkan defisit dagangan berjumlah RM3.5 bilion.

Manakala, jumlah dagangan Malaysia pula berjumlah RM133.3 bilion, turun 16.4% tahun ke tahun. Keadaan ini boleh dipantau melalui jumlah transaksi, 11.7 juta transaksi bagi Januari-April 2020 berbanding 14.3 juta transaksi bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Walau bagaimanapun berdasarkan petunjuk awal, pihak mereka tidak dapat menolak bahawa perdagangan Malaysia diramal kembali pulih pada Mei 2020 setelah perniagaan kembali beroperasi seperti sedia kala.

Antara barangan yang menyumbang kepada penurunan eksport termasuk produk elektrik dan eletronik, petroleum bertapis, hasil keluaran kayu, gas asli cecair, pertroleum mentah, minyak kelapa sawit dan hasil keluaran minyak kelapa sawit serta getah asli.

Penurunan import negara pula kerana barangan perantaraan dan barangan penggunaan dengan masing-masing berkurang sebanyak RM12.5 bilion dan RM793.5 juta. Import bagi barangan modal pula mencatatkan peningkatan sebanyak RM6.1 bilion.

Turut mendorong kepada penurunan eksport adalah pengurangan kadar ekport oleh Kesatuan Eropah (-RM2.7 bilion), Amerika Syarikat (-RM2.4 bilion), India (-RM2.3 bilion), Singapura (-RM2.0 bilion) dan Thailand (-RM2.0 bilion). Namun, eksport ke China mencatatkan peningkatan (+RM488.1 juta).

Kadar import rendah pula adalah dari Singapura (-RM2.5 bilion), Kesatuan Eropah (-RM2.1 bilion), Thailand (-RM1.7 bilion), Arab Saudi (-RM1.6 bilion) dan Jepun (-RM906.9 juta). Import tinggi pula adalah dari Republik Korea (+RM9.9 bilion) berikutan terdapat pengimportan struktur terapung.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat