Komoditi emas terus didagangkan lemah di sekitar paras terendah empat bulan pada hari Rabu berikutan sentimen pasaran yang melemahkan permintaan terhadap safe-haven, susulan bermulanya proses peralihan rasmi Presiden terpilih, Joe Biden ke White House telah mengurangkan ketidakpastian politik AS.
Emas diniagakan mendatar pada awal sesi Eropah dengan berlegar di sekitar harga $1,805 per auns, setelah menyentuh paras sokongan pada $1,800 ketika sesi dagangan Selasa. Sementara niaga hadapan emas pula susut pada $1,801 per auns.
Presiden Donald Trump memberikan peluang kepada Biden untuk menerima taklimat perisik presiden harian, menandakan beliau perlahan-lahan menyerahkan kuasanya walaupun masih menidakkan keputusan pilihan raya baru-baru ini.
Permulaan rasmi peralihan Biden ke White House dan perkembangan positif mengenai vaksin Covid-19 yang berpotensi telah meningkatkan keyakinan pasaran untuk pemulihan ekonomi, menyaksikan indeks saham Dow Jones melonjak menembusi tahap 30,000 buat kali pertama dalam sejarah.
Tumpuan pasaran kini beralih kepada penerbitan laporan minit mesyuarat FOMC pada awal pagi Khamis bagi mendapatkan petunjuk lebih jelas mengenai pandangan Federal Reserve (Fed) terhadap dasar monetari semasa.