Adakah negara-negara termiskin di dunia berada di ambang keruntuhan ekonomi?
Bank Dunia melaporkan sejumlah 26 negara termiskin dunia, termasuk Burundi, Malawi, Congo, Burkina Faso, dan Uganda, kini menghadapi krisis kewangan yang mendesak sejak 2006.
Menurut laporan yang telah dikeluarkan pada 13 Oktober 2024, kadar hutang negara-negara ini terus meningkat ke paras tertinggi dalam 18 tahun, dengan 72% nisbah hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Keadaan semakin kritikal selepas pandemik COVID-19, mengakibatkan ekonomi negara-negara ini merosot, walaupun banyak negara lain telah pulih dan ekonomi kembali berkembang.
Sekitar 40% penduduk termiskin dunia tinggal di negara-negara ini, mempunyai risiko tinggi terhadap bencana alam dan krisis ekonomi.
Kebanyakan negara ini bergantung kepada eksport komoditi yang tidak stabil dan sedang menghadapi konflik bersenjata serta kelemahan institusi yang menghalang pelaburan asing.
Bank Dunia kini sedang giat berusaha untuk mengumpulkan dana lebih daripada AS$100 bilion menjelang Disember bagi menyokong Bantuan Pembangunan Antarabangsa (IDA).
Bank Dunia juga menggesa negara-negara yang terlibat untuk memperbaiki sistem cukai dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam bagi mengatasi masalah kemiskinan dan hutang yang semakin meruncing.