“Haih asyik ditimpa masalah je, bertabahlah ye Huobi.”
Baru-baru ini dikejutkan berita mengenai bursa mata wang crypto Huobi yang mengeluarkan notis kepada para pelanggannya bagi menamatkan perkhidmatan mereka di Korea Selatan pada bulan ini susulan persekitaran perniagaan yang mencabar.
Dilaporkan, Huobi yang bakal menghentikan operasinya di negara itu telah mendedahkan bahawa perkhidmatan perdagangan aset maya tempatan mereka hanya akan tersedia sehingga tarikh 29 Januari 2024.
Tindakan itu bertujuan memberi masa kepada pengguna untuk mengeluarkan aset digitalnya daripada platform, oleh itu semua orang harus menyelesaikan apa sahaja perniagaan perlu dilakukan atau diselesaikan sebelum perkhidmatan ditutup sepenuhnya tiga minggu dari sekarang.
Selain mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggannya yang menggunakan Huobi Korea, pasukannya turut tidak dapat menahan rasa kesal dan kecewa terhadap pelanggan mereka susulan gagal untuk terus menyediakan perkhidmatan pertukaran aset maya.
Menerusi pemerhatian, Huobi Korea telah memulakan proses penutupan melalui penyekatan beberapa perkhidmatan dan meninggalkan hanya beberapa untuk membenarkan pengguna menyelesaikan sebarang transaksi.
Bursa kripto itu yang sudah menaik taraf sistemnya turut melaksanakan pembaharuan jenama bagi menawarkan perkhidmatan lebih baik untuk transaksi pertukaran digital termasuk buat kemunculan semula melalui model perniagaan blockchain baharu.
Memang tidak dinafikan Huobi Korea bakal menghentikan operasinya, tetapi pasukannya memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa aset digital mereka akan selamat dan semua orang mempunyai peluang untuk mengeluarkan dananya sebelum penutupan.