Amerika Syarikat (AS) telah melancarkan tekanan keras yang ketiga dalam tempoh tiga tahun terhadap pasaran semikonduktor China, dengan mengenakan sekatan eksport yang ketat ke atas 140 syarikat, termasuk pengeluar alat cip seperti Naura Technology Group, Piotech, dan SiCarrier Technology.
Langkah ini merupakan salah satu usaha besar terakhir di bawah pentadbiran Biden untuk menyekat keupayaan China mengakses dan menghasilkan cip yang dapat memajukan AI untuk aplikasi ketenteraan atau mengancam keselamatan negara AS.
Peraturan baharu dikeluarkan dengan menghadkan eksport cip memori jalur lebar tinggi (HBM) dan alat pembuatan cip dari negara seperti Malaysia dan Singapura, manakala sekutu seperti Jepun dan Belanda dikecualikan.
Pentadbiran Biden juga menambah 16 firma utama China ke dalam “senarai entiti,” melarang pembekal AS berdagang dengan mereka tanpa lesen khas.
China giat berusaha untuk menjadi berdikari dalam sektor semikonduktor tetapi masih gagal dan jauh ketinggalan berbanding syarikat gergasi industri seperti Nvidia dan ASML.
Sekatan ini turut menyasarkan firma ekuiti swasta China, termasuk syarikat yang dikaitkan dengan Huawei, yang dianggap sebagai kunci kepada aspirasi teknologi canggih Beijing.
Langkah ini hadir beberapa minggu sebelum bekas Presiden Republikan Donald Trump mengangkat sumpah, di mana beliau dijangka akan meneruskan banyak langkah tegas Biden terhadap China.
Dengan Malaysia dan Singapura kini turut terjejas, persoalannya: Adakah ini peluang untuk kedua-dua negara mengukuhkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan global, atau sekadar menjadi ‘pawn’ dalam permainan catur kuasa besar?