Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
Keputusan mengekalkan kadar penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di negara ini itu diputuskan pada mesyuarat kedua MPC BNM bagi tahun ini yang diadakan pada 6 dan 7 Mac 2024.
BNM berkata, pada paras 3.00 peratus itu, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.
MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. Mereka juga akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.7 peratus pada tahun 2023. Pada masa hadapan, pertumbuhan dijangka meningkat sepanjang tahun 2024 didorong oleh pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan
Pada Januari hingga Mac 2023, OPR dikekalkan pada kadar 2.75 peratus selepas empat kenaikan berturut-turut bermula Mei, Julai, September dan November 2022, dengan masing-masing meningkat 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus pada sebelumnya.
Mesyuarat MPC seterusnya akan diadakan pada 8 dan 9 Mei nanti.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan BNM mengumumkan paras rizab antarabangsa berjumlah AS$114.3 bilion pada 29 Februari 2024 Ini memadai untuk membiayai 5.4 bulan import barangan serta perkhidmatan dan jumlah hutang luar negeri jangka pendek.