Berbeza berbanding pendekatan oleh kebanyakan bank pusat yang lain, Bank of Japan (BOJ) dilihat melaksanakan langkah pengetatan dasar monetari mereka dengan tumpuan telah terarah kepada mesyuarat polisi di sesi Asia sebentar tadi.
BOJ membuat keputusan menaikkan kadar faedah jangka pendek utamanya pada mesyuarat Julai 2024 kepada 0.25% daripada julat sebelumnya 0 hingga 0.1% yang ditetapkan pada Mac.
Bank pusat itu menambah bahawa ia akan mengurangkan pembelian bon bulanan kepada JPY 3 trilion pada Januari hingga Mac 2026 daripada kadar semasa sekitar JPY 6 trilion untuk meneruskan dasar monetari yang lebih normal.
Mulai Ogos, BoJ akan menawarkan untuk membeli JPY 400 bilion bon kerajaan Jepun JGB 5 dan 10 tahun pada setiap operasinya, menghapuskan julat tawaran berterusan JPY 400-550 bilion.
Perubahan itu adalah sebahagian daripada rancangan bank pusat untuk menurunkan kunci kira-kira hampir $5 trilion dan perlahan-lahan berundur daripada pasaran bon.
Dalam tinjauan suku tahunan, BoJ mengunjurkan inflasi teras untuk tahun kewangan 2024 (FY24) jatuh sekitar 2.5%, kurang daripada ramalan April sebanyak 2.8%. Ia akan menjadi sekitar 2% untuk FY25 dan 26.
Dari segi KDNK, penggubal dasar mengurangkan unjuran pertumbuhan 2024 mereka kepada 0.6% daripada 0.8%, mengikut semakan statistik. Untuk FY 25 dan 26, bank itu mengekalkan tinjauan KDNKnya pada 1.0%.
Beberapa ucapan susulan yang disampaikan oleh Gabenor Kazuo Ueda turut mencuri perhatian pelabur.
Antaranya, beliau berpandangan kadar faedah 0.25% itu masih lagi berada pada paras yang terlalu rendah namun menyatakan kesukaran untuk menetapkan tempoh kenaikan kadar faedah yang seterusnya.
Beliau juga melihat paras 0.50% bukanlah sebagai paras siling untuk kadar faedah, dan bank pusat komited untuk mencapai sasaran inflasi yang stabil.