Rezeki besar menanti penjawat awam Kedah!
Penjawat awam Kedah bakal menikmati rezeki berganda tahun depan selepas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, mengumumkan bonus sebanyak RM2,000 sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka kepada negeri.
Bonus ini akan diberikan kepada 5,076 orang kakitangan melalui dua kali pembayaran, iaitu pada bulan Mac dan Jun 2025.
Semasa pembentangan Bajet Kedah 2025 di Wisma Darul Aman, Sanusi memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah memperuntukkan RM12 juta untuk melaksanakan inisiatif ini.
Selain itu, kerajaan Kedah juga menyediakan tambahan peruntukkan sebanyak RM30 juta untuk menampung kenaikan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu yang mula berkuat kuasa pada 1 Disember ini.
Penambahbaikan ini merupakan yang pertama sejak 2013, dijangka memberikan kenaikan gaji sehingga 15% untuk kebanyakan penjawat awam.
Sanusi menjelaskan bahawa bonus ini merupakan penghargaan kepada penjawat awam yang sentiasa berkhidmat dengan cemerlang demi pembangunan negeri.
Seperti beberapa negeri lain yang mengumumkan bonus sebelum ini, kerajaan Kedah juga komited menjaga kebajikan penjawat awam.