US dolar gagal menyerlah pada dagangan Rabu semalam apabila masih terperangkap dalam prestasi hambarnya beberapa hari ini.
Walaupun ada pemulihan yang dipaparkan pada pembukaan awal minggu lalu, namun raja mata wang itu tidak berjaya lanjutkan pengukuhan lebih ketara ketika data-data terbaru diterbitkan dengan angka yang baik.
Meneliti data pada sesi New York semalam, bacaan ADP menunjukkan pertambahan pekerjaan swasta di Amerika Syarikat (AS) untuk bulan November sebanyak 146,000, lebih rendah berbanding ramalan 152,000.
Angka tersebut juga lebih rendah dari bulan sebelumnya iaitu 184,000 yang telah dikemas kini menurun dari angka asal diterbitkan pada 233,000.
Ini sedikit mengganggu gambaran bagi laporan pekerjaan NFP AS yang akan diterbitkan pada Jumaat membuatkan prestasi US dolar juga turut terjejas.
Pelabur tambah berhati-hati menantikan petunjuk penting bagi sektor buruh ini menjelang mesyuarat FOMC terakhir 2024 beberapa minggu lagi.
Mata wang Euro sedikit meningkat pada Rabu ketika suasana pergolakan politik di Perancis masih diberikan perhatian.
Dolar Australia jatuh ke paras terendah 4 bulan ketika data pertumbuhan ekonomi suku ketiga negara itu hadir dengan angka yang kurang memberangsangkan.
Mata wang tumpuan yang lain hanya menunjukkan pergerakan mendatar dan perlahan untuk pembukaan awal Disember ini.