Mata wang Eropah, Euro dan Pound alami kejatuhan ketara pada dagangan sesi Eropah semalam didorong oleh data yang diterbitkan menunjukkan situasi aktiviti ekonomi pada bulan September yang kurang memberangsangkan.
Kesemua data PMI sektor pembuatan dan perkhidmatan melibatkan Perancis, Jerman dan UK menunjukkan bacaan angka yang ‘merah’, iaitu merosot berbanding bulan sebelumnya.
Namun, mata wang Eropah itu berjaya pulih sedikit pada sesi New York berikutan US dolar yang mula melemah memberi reaksi terhadap data PMI yang sama bagi Amerika Syarikat (AS).
Sektor perkhidmatan kekal menunjukkan angka baik seperti bulan lepas, namun sektor pembuatan alami kemerosotan lebih rendah berbanding bulan lepas yang dikemaskini, meleset berbanding ramalan untuk meningkat.
Petunjuk pada indeks dolar (DXY) kekal berlegar di paras rendah selepas pemotongan kadar faedah agresif oleh Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat minggu lalu.
Pelabur pada minggu ini akan memberi tumpuan terhadap pandangan oleh ahli-ahli Fed selepas keputusan berkenaan pelonggaran dasar tersebut.
Presiden Fed Minneapolis, Neel Kashkari menyatakan sokongan beliau terhadap langkah pemotongan kadar faedah bank pusat, melihat sebagai keputusan yang tepat dengan trend penurunan inflasi AS serta risiko peningkatan pengangguran.
Sementara, Presiden Fed Atlanta Raphael Bostic terbuka untuk pemotongan lanjut kadar faedah dalam tempoh terdekat ini.
Dengan jangkaan US dolar akan terus bergerak dalam tekanan, beberapa lagi data ekonomi akan diperhatikan menuju penghujung minggu yang akan menambah gelora buat mata wang itu seperti data pertumbuhan ekonomi AS dan indeks harga PCE.
Tumpuan pasaran pada hari ini (Selasa) adalah terhadap keputusan mesyuarat polisi bank pusat Australia (RBA) dengan jangkaan kadar faedah akan dikekalkan tidak berubah pada 4.35%.
Ucapan susulan oleh gabenor akan diperhatikan sebelum pelabur menantikan data inflasi Australia yang akan diterbitkan pada Rabu.
Di sesi New York, data tinjauan keyakinan pengguna AS dijangka akan pengaruhi pergerakan US dolar.