Emas memperoleh sedikit aliran positif pada awal dagangan walaupun dipengaruhi oleh peningkatan hasil Amerika Syarikat (AS) dan peserta pasaran kini sibuk meneliti data ekonomi AS yang akan menjadi petunjuk lanjut Federal Reserve (Fed) dalam pelaksanaan pelonggaran dasar seterusnya.
Pada jam 9.25 pagi, harga emas berada pada paras $2,747.24 iaitu naik 0.22% sejak ia dibuka pada awal dagangan Asia pagi Selasa.
Hasil Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat tiga mata asas pada 4.272% dan menyekat kenaikan logam kuning untuk bertahan di posisi tertingginya serta penganalisis meramalkan paras $2,800 bakal disentuh di penghujung tahun.
Selain itu, peserta pasaran juga akan mengintai perkembangan pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada November nanti.
Berdasarkan data, peluang Trump untuk memenangi pilihan raya meningkat kepada 52% berbanding Kamala Harris sekitar 48%.
Buat masa ini, pelabur akan menantikan keluaran data penting sepanjang minggu ini yang menampilkan data buruh seperti JOLTS, Perubahan Pekerjaan ADP, Tuntutan Pengangguran dan Non-Farm Payrolls.
Tidak lupa juga, data lain seperti KDNK untuk suku ketiga 2024, ISM Manufacturing PMI dan angka PCE yang menjadi ukuran inflasi Fed.
Konflik geopolitik kembali menjadi perhatian pada hujung minggu selepas Israel melancarkan peluru berpandu ke beberapa sasaran ketenteraan di Iran sambil mengelakkan pusat tenaga dan kemudahan nuklear.