“Keadaan akan menjadi lebih sukar sebelum ia bertambah baik.” Kenyataan jujur daripada Tan Sri Azmil Khalili Khalid, pengerusi Kumpulan AFA, mengenai cabaran yang bakal dihadapi pengguna Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT1).
Dalam satu taklimat mengenai projek pelebaran lebuh raya bernilai RM2.1 bilion itu, Azmil mengharapkan kesabaran daripada pengguna jalan raya sepanjang empat tahun akan datang apabila kerja-kerja pelebaran laluan penting yang menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur ini bermula.
Dijadualkan bermula pada Januari 2025 dan mengambil masa 48 bulan untuk disiapkan. Projek ini akan menaik taraf lebuh raya dari Gombak ke Bentong bagi mengatasi masalah kesesakan yang semakin memburuk. Dengan trafik yang meningkat terutama pada hujung minggu dan musim perayaan, keperluan untuk pelebaran menjadi semakin mendesak. Walaupun skala projek ini besar, ia dibiayai sepenuhnya oleh Kumpulan AFA, tanpa dana kerajaan. Namun, sebarang kemungkinan kenaikan kadar tol tertakluk kepada kelulusan kerajaan.
Projek pelebaran ini melibatkan cabaran kejuruteraan yang besar untuk mengatasi bentuk muka bumi yang berbukit. Antara plaza tol Gombak dan Genting Sempah, susun atur lorong tiga hala, dua yang sedia ada akan dinaik taraf menjadi lorong empat hala, meningkatkan kapasiti sebanyak 25% di setiap arah. Manakala, laluan dari Genting Sempah ke plaza tol Bentong akan dinaik taraf daripada dua lorong kepada tiga lorong di setiap arah.
Salah satu ciri utama projek ini ialah pembinaan terowong baharu, terletak 30 meter di sebelah timur terowong hala timur sedia ada di Genting Sempah. Terowong tambahan ini membolehkan fleksibiliti trafik yang lebih besar, dengan dua terowong boleh digunakan untuk satu arah pada waktu puncak seperti semasa perayaan. Ia juga memudahkan kerja penyelenggaraan tanpa mengganggu aliran trafik.
Projek ini turut menjanjikan peningkatan keselamatan termasuk bahu jalan selebar tiga meter. Satu ciri-ciri yang jarang terdapat di lebuh raya berbukit. Tambahan pula, keseluruhan lebuh raya akan diterangi sepenuhnya, menangani masalah kekurangan pencahayaan di beberapa bahagian laluan.
Kumpulan AFA juga menekankan bahawa tiada lorong akan ditutup sepanjang pembinaan. Sebaliknya, lorong kecemasan akan digunakan sementara, walaupun pengguna jalan raya perlu bersedia dengan kelajuan trafik yang lebih perlahan akibat halangan keselamatan.
Bagi mereka yang sering berulang-alik antara Lembah Klang dan Pantai Timur, peningkatan ini menjanjikan perjalanan yang lebih lancar dan selamat. Walaupun fasa pembinaan akan membawa cabaran yang tidak dapat dielakkan, manfaat jangka panjangnya jelas kelihatan. Menjelang 2029, Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 akan menawarkan kapasiti, keselamatan, dan kecekapan yang jauh lebih baik, menjadikan penantian ini satu pelaburan yang berbaloi dalam infrastruktur negara.