Setelah sekian lama pasaran berteka-teki, akhirnya persoalan telah terjawab pada mesyuarat FOMC yang menjadi tumpuan pada jam 3 pagi tadi.
Seperti dijangkakan, Federal Reserve (Fed) terus mengekalkan kadar faedah tidak berubah di paras 5.50% untuk kali keempat berturut-turut.
Selepas itu, ucapan oleh Pengerusi Fed Jerome Powell menjadi tumpuan utama dan pelabur telah menilai petunjuk yang agak jelas disampaikan pada mesyuarat terbaru ini.
Powell memberi isyarat bahawa tiada perancangan untuk langkah penurunan kadar faedah pada Mac 2024.
Menurutnya, bank pusat perlu menilai data-data terbaru untuk memastikan waktu yang tepat untuk langkah penurunan kadar faedah dilaksanakan.
Namun, beliau masih menyatakan bahawa penurunan kadar faedah adalah sesuai untuk dimulakan pada tahun ini.
Buat ketika ini, unjuran ekonomi bercampur-campur, justeru bank pusat berkemungkinan masih perlu mengekalkan dasar monetari sedia ada untuk tempoh lebih lama jika perlu.
Kini bank pusat akan meneliti pasaran buruh, jika menunjukkan kemerosotan akan mendorong langkah penurunan kadar faedah berlaku lebih cepat.
Laporan pekerjaan NFP pada Jumaat akan diteliti setelah pelabur disajikan dahulu dengan data ADP di awal sesi New York semalam.
Namun bacaan data menunjukkan angka yang suram dengan pertambahan perlahan untuk bulan Januari, memberi isyarat awal yang negatif untuk NFP.
Mata wang US dolar agak ketara melemah di awal sesi New York ketika reaksi terhadap data tersebut di samping debaran menuju mesyuarat FOMC, namun arah pergerakan berubah menuju penghujung sesi.
Kesan ulasan oleh Powell telah membuatkan US dolar pulih semula setelah petunjuk bahawa penurunan kadar faedah yang dijangkakan pada Mac, tidak berlaku.
Tumpuan pasaran hari ini akan terarah pula kepada mesyuarat polisi bank pusat England (BOE) dengan jangkaan kadar faedah turut akan dikekalkan tidak berubah.
Data tinjauan ISM sektor pembuatan Amerika Syarikat akan diteliti pada sesi New York malam nanti sebelum tumpuan seterusnya akan terarah untuk laporan NFP pada Jumaat pula.