Dagangan emas dilihat melantun balik lebih tinggi dari paras terendah malam tadi iaitu $2,013 ke paras $2,034 semasa sesi awal Asia pagi.
Namun, kenaikan harga emas itu mungkin terhad berikutan Federal Reserve (Fed) berkemungkinan perlu menangguhkan dahulu langkah untuk mengurangkan kadar faedah dan memberi tekanan jualan ke atas harga emas.
Sementara itu, Indeks Dolar AS (DXY) menunjukkan peningkatan berbanding beberapa mata wang utama dunia kepada 102.30 dan hasil Perbendaharaan 10 tahun pula menunjukkan kelebihan kepada 3.97%.
Semalam, laporan inflasi AS adalah lebih tinggi daripada jangkaan pasaran. Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi Disember meningkat kepada 3.4% tahunan daripada bacaan sebelumnya iaitu sebanyak 3.1%. Ia juga lebih baik daripada jangkaan iaitu 3.2%.
Pada bulanan pula, CPI naik 0.3% berbanding 0.1% sebelumnya yang melebihi konsensus 0.2%. CPI Teras yang tidak termasuk harga makanan dan tenaga pula meningkat 3.9% tahunan untuk bulan Disember berbanding anggaran 3.8%.
Mata wang dolar AS telah menarik minat pembeli berikutan data AS yang optimis kerana para pelabur dapat menjangkakan Federal Reserve (Fed) berpotensi menangguhkan pemotongan kadar faedah pertamanya pada tahun ini.
Presiden Fed Chicago, Austan Goolsbee berkata bahawa tahun 2023 adalah tahun paling menyerlah untuk kejatuhan inflasi dan memudahkan Fed menentukan jangkaan pemotongan kadar faedah di Amerika Syarikat pada 2024 jika trend itu berterusan.
Walau bagaimanapun, Presiden Fed New York, John Williams bahawa dasar monetari AS yang terhad mungkin akan dikekalkan untuk beberapa waktu.
Para pelabur kini akan mengambil petunjuk daripada data ekonomi China pada hari ini. Indeks Harga Pengguna (CPI) turun kepada 0.3% berbanding jangkaan awal iaitu 0.4%. Manakala, Indeks Harga Pengeluar (PPI) pula turun kepada 2.7% daripada sasaran mereka iaitu 2.6% pada tahunan.
Data yang lebih lemah daripada jangkaan mungkin mempengaruhi harga emas kerana China adalah salah satu pengeluar logam kuning terbesar dunia. Selain itu, data PPI AS akan dikeluarkan pada pukul 9.30 malam ini.