Pasaran minyak mentah dunia mula paparkan arus pemulihan selepas alami kejatuhan sejak minggu lepas berikutan kebimbangan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Timur Tengah.
Selain itu, tindakan Jabatan Tenaga AS membeli 3.5 juta tong minyak mentah untuk Rizab Petroleum Strategik (SPR) mendorong sentimen makro ekonomi merosot dan mendorong kejatuhannya sejak bulan lepas.
Penanda aras West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada $73.36 per tong iaitu naik sebanyak 0.51% dan Brent pula bergerak pada harga $76.49 per tong dengan naik 0.62%.
Kerisauan konflik Timur Tengah yang meluas kekal menjadi pendorong kenaikan harga minyak mentah. Ketenteraan Iran yang berjanji untuk membalas dendam terhadap Israel berikutan pembunuhan dua pemimpin utama telah menyemarakkan semangat perang.
Secara tidak langsung, situasi ini berpotensi menjejaskan bekalan minyak di rantau tersebut.
Menurut Institut Petroleum Amerika (API), simpanan minyak mentah di AS pada minggu yang berakhir 2 Ogos meningkat sebanyak 180,000 tong dengan kehilangan 4.49 juta pada minggu sebelumnya.
Sebaliknya, permintaan pasaran China yang lembab turut menjejaskan harga WTI kerana China adalah antara pengguna minyak terbesar dunia.
Buat masa ini, para pelabur akan mendapatkan lebih banyak petunjuk seperti Imbangan Dagangan China dan Indeks Harga Pengguna (CPI) yang bakal dibentangkan pada minggu ini.